Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan tiada mafia serta elemen pengganas dari luar negara bertapak dalam negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, dakwaan berhubung penjenayah dalam buruan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin tertinggi tentera Bangladesh berada di negara itu dalam perhatian polis.

“Kita sedia maklum berhubung dakwaan itu tetapi setakat ini kita tidak menerima sebarang permohonan daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia untuk melakukan siasatan berhubung isu berkenaan.

“Saya yakinkan bahawa pihak polis tidak akan membenarkan kegiatan mafia dari luar negara untuk bergiat dalam negara ini atau sebarang elemen pengganas bertapak di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Upacara Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli Siri 1/2020 di Lapang Sasar Utama, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din; Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Tambah Abdul Hamid, pihaknya tidak menolak kemungkinan dakwaan penjenayah dari Bangladesh itu bersembunyi dalam negara sengaja digemparkan susulan pilihan raya yang berlangsung di negara tersebut.

“Mungkin laporan itu fokus kepada sesuatu pihak jadi kita tidak mahu terbabit,” katanya.

Terdahulu, sebuah agensi berita antarabangsa mendakwa abang kepada pemimpin tertinggi tentera Bangladesh yang disabitkan dengan kesalahan membunuh ahli politik di negara itu dipercayai bersembunyi di Malaysia sejak melarikan diri dari Bangladesh. -MalaysiaGazette