Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Risikan/Operasi) Bukit Aman, DCP Zainudin Ahmad pada sidang media rampasan dadah syabu dan heroin bernilai RM 1.37 juta dalam serbuan Ops QuickSand . Foto FIKRI YAZID, 2 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Selepas mendapat bekalan dari negara jiran, sepasang suami isteri dipercayai menyimpan, membungkus dadah di apartmennya sebelum mengedarkan kepada pelanggan tetap.

Itu kelicikan modus operandi pasangan tersebut dan rakannya yang disyaki menjadi dalang sindiket mengedar dan menyeludup dadah di sekitar Lembah Klang.

Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad berkata, polis berjaya menahan mereka semasa Operasi Quicksand di sekitar ibu negara pada 26 Februari bermula jam 2 hingga 5 petang.

Serbuan di tiga tempat berlainan telah menahan tiga ahli sindiket iaitu sepasang suami isteri dan seorang lagi rakannya yang terlibat.

“Kesemua suspek berusia 25 hingga 28 tahun dan polis berjaya merampas dadah syabu seberat 38 kilogram dan heroin seberat 457 gram anggaran bernilai RM1.37 juta.

“Turut disita aset-aset yang dimiliki kesemua suspek iaitu barang kemas dan wang tunai RM23,864,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields yang turut disertai ketuanya Asisten Komisioner Anuar Omar.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Risikan/Operasi) Bukit Aman, DCP Zainudin Ahmad . Foto FIKRI YAZID, 2 MAC 2021.

Tambah Zainuddin, semakan rekod mendapati kedua-dua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Menurutnya, tiga dalang berkenaan merupakan serpihan sindiket dadah yang berjaya ditumpas di Pulau Pinang pada November 2020 dan polis sedang melancarkan pemburuan saki baki sindiket berkenaan yang disyaki masih bebas di sekitar ibu negara.

“Hasil risikan kami mendapati sindiket ini aktif sejak lapan bulan lalu dan modus operandi mereka adalah berperanan sebagai orang tengah dan mendapatkan bekalan secara pukal dari orang atasan sindiket itu dari negara jiran di utara Semenanjung.

“Mereka kemudian menyimpan bekalan yang diterima di dua servis aparment yang disewa bagi tujuan operasi itu sebelum membungkus dalam paket kecil untuk penjualan kepada pelanggan tetap di sekitar Lembah Kelang.

“Dia berurusan edar dan seludup dadah ini menerusi kenderaan sendiri termasuk lori jika ikutkan trend terkini mereka membawa masuk bekalan ke dalam negara.

“Justeru selepas bekalan sudah siap dibungkus untuk diedar dan dijual, mereka akan berurusan dengan pembeli menerusi panggilan telefon serta aplikasi WeChat dan WhatsApp sebelum menghantar bekalan kepada pelanggan,” ujar beliau.

Tegas beliau ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari hingga 5 Mac ini di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.-MalaysiaGazette