Pihak berkuasa berada di hadapan rumah mangsa bagi tujuan penyiasatan, semalam. Foto agensi

COLOMBO – Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut selepas dipercayai menjadi mangsa dalam ritual mengusir hantu di Sri Lanka semalam.

Mangsa maut dikatakan berpunca kerana dipukul berkali-kali menggunakan rotan.

Polis menyatakan pihaknya telah berjaya memberkas dua suspek yang terkait dengan kes berkenaan.

“Antara dua suspek berkenaan, seorang merupakan bomoh wanita dan telah dihadapakan ke mahkamah semalam. Bomoh tersebut telah melakukan ritual terhadap ibu kanak-kanak perempuan itu.

“Insiden dikatakan berlaku pada hujung minggu lalu di sebuah kota kecil yang terletak sekitar 40 kilometer dari timur laut ibu kota Colombo,” katanya.

Tambah polis, mahkamah juga telah mengarahkan supaya kedua-dua suspek ditahan sehingga 12 Mac depan.

Menurut seorang jurucakap polis, Ajith Rohana, ibunya percaya anaknya telah dirasuk hantu lalu terus membawanya ke rumah seorang bomoh.

“Bomoh berkenaan menyapu minyak pada kanak-kanak itu sebelum berkali-kali memukulnya dengan menggunakan sebatang rotan.

“Apabila kanak-kanak perempuan itu pengsan, dia dibawa ke hospital.

“Namun, malangnya kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia dan bedah siasat telah dijalankan,” ujarnya.

Bomoh yang melakukan ritual ke atas kanak-kanak perempuan itu dikatakan terkenal di kawasan tersebut dan dipercayai menawarkan khidmat perubatan alternatif sejak beberapa bulan lalu.

Sehubungan itu, polis turut menyiasat jika ada mangsa lain yang turut didera dan menggesa kepada orang awam agar berwaspada terhadap khidmat sedemikian. – MalaysiaGazette