MIT

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat sejumlah RM164 bilion pelaburan yang diluluskan melalui 4,599 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada tahun 2020 meskipun persekitaran ekonomi global sangat mencabar.

Pelaburan ini diharapkan dapat mewujudkan 114,673 pekerjaan baru dalam pelbagai sektor ekonomi setelah dilaksanakan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, pelaburan langsung domestik (DDI) tahun lalu menyumbang sebahagian besar dari jumlah pelaburan yang diluluskan dengan sumbangan 60.9 peratus (RM99.8 bilion), sementara pelaburan langsung asing (FDI) merangkumi baki RM64.2 bilion (39.1%).

Sektor perkilangan menerajui jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2020 dengan mencatat pelaburan sebanyak RM91.3 bilion, diikuti oleh sektor perkhidmatan RM66.7 bilion dan sektor utama dengan RM6.0 bilion.

China (RM18.1 bilion), Singapura (RM10.0 bilion) dan Belanda (RM7.0 bilion) adalah tigasumber FDI teratas dari keseluruhan sektor ekonomi di Malaysia, menyumbang lebih daripada separuh (54.8%) daripada jumlah FDI yang diluluskan untuk
tahun ini.

Selangor (RM38.7 bilion) pula mencatatkan pelaburan tertinggi yang diluluskan tahun lalu, diikuti oleh Sabah (RM21.0 bilion), Sarawak (RM19.6 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM17.1 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.0 bilion).

Lima negeri ini sahaja menyumbang lebih daripada 60 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk tahun 2020.

Katanya, sektor perkilangan terus mengungguli sektor perkilangan mempunyai kesan pengganda yang paling signifikan terhadap aktiviti dan pertumbuhan negara; ia akan terus menjadi asas ekonomi Malaysia termasuk menghubungkan kawasan maju dan mundur, pembangunan kluster industri, pemindahan teknologi baru dan pembangunan kemahiran.

Sektor perkilangan Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM91.3 bilion untuk tahun 2020, meningkat 10.3 peratus dari tahun 2019.

Bilangan projek perkilangan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 6.2 peratus dari 988 projek pada tahun 2019 kepada 1,049 projek pada tahun 2020.

Apabila dilaksanakan, projek perkilangan yang diluluskan ini akan mewujudkan pekerjaan baru untuk lebih daripada 80,000 orang.

Daripada jumlah tersebut, 35.8 peratus adalah jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan (MTS), termasuk jurutera, penyelia
penyelenggaraan kilang, pembuat tools and die, juruteknik, kakitangan IT, pengawal kualiti, juruelektrik dan pengimpal.

FDI menyumbang 62 peratus (RM56.6 bilion) dari jumlah pelaburan yang diluluskan di sektor perkilangan, sementara pelaburan domestik merangkumi baki 38 peratus (RM34.7 bilion).

Azmin menambah, di sebalik situasi yang mencabar, DDI melonjak 22.6 peratus sementara FDI meningkat 3.9 peratus berbanding 2019.

”Walaupun berdepan dengan cabaran akibat pandemik, pelaburan projek baru yang merangkumi 66.9 peratus dari keseluruhan projek perkilangan yang diluluskan, tetap dapat dijana pada tahun 2020.

”Ini adalah bukti usaha MITI dan MIDA untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan dasar yang mesra pelabur telah dilaksanakan untuk membolehkan pelabur mempunyai keyakinan untuk mewujudkan operasi baru di negara ini.

”Pasukan kami juga telah bekerja keras untuk memastikan projek yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan lancar dan dapat dilihat melalui peringkat pelaksanaan yang baik bagi projek yang telah diluluskan,” ujarnya.

Untuk tempoh 2016-2020, daripada 4,178 projek yang telah diluluskan, 70.0 peratus pelaburan bernilai RM197.2 bilion telah dilaksanakan di negara ini.

Dari segi industri yang menunjukkan prestasi tinggi pada tahun 2020, elektrik dan elektronik (RM15.6 bilion), produk petroleum termasuk petrokimia (RM15.5 bilion), produk logam asas (RM14.4 bilion), kertas, percetakan dan penerbitan (RM7.8 bilion), mesin dan peralatan (RM7.1 bilion), bahan kimia dan produk kimia (RM6.3 bilion), produk getah (RM4.3 bilion) serta teknologi pengangkutan (RM3.9 bilion) telah menyumbang hampir 90 peratus jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan tahun lalu. – MalaysiaGazette