Gambar hiasan

INI bukanlah waktu terbaik untuk berbalah, menunding jari apalagi membuat pelbagai
telahan terhadap apa yang terjadi. Seharusnya, pihak pembangkang, khususnya Parti
Amanah Negara (AMANAH) mengambil waktu untuk refleksi. Seperti biasa, boleh sahaja para pimpinan mahupun ahli parti bersetuju dan boleh sahaja tidak bersetuju dengan pandangan saya ini.  Tiada paksaan.

Berbalik kepada situasi yang dihadapi baru-baru ini, apabila wakil rakyat daripada parti ini
melompat ke parti lain, dengan pelbagai hujjah, sewajarnya ia diambil peduli. Saya merasakan belum terlambat untuk pihak pimpinan, khususnya di peringkat nasional
menilai kembali sebab mengapa perkara itu boleh terjadi. Barangkali, ia perlu dilakukan
melalui kajian kaji selidik atau yang seumpama dengannya. Agar pihak pimpinan sedari dan dapat melakukan strategi lebih rasional untuk jangka masa panjang.

Keluarlah apa pun pandangan, persepsi mahupun andaian, namun janganlah sampai
keterlaluan dan mencemarkan imej parti. Suka diingatkan, sebaiknya pimpinan dan ahli kembalilah kepada matlamat asal penubuhannya. Seingat saya, di awal penubuhannya memang ia ingin dijenamakan sebagai Parti Islam baharu bernama Parti Progresif Islam (PPI).

Namun tidak mendapat kelulusan ROS dan bertukarlah kepada Parti Amanah Negara (Amanah). Bagaimana dasar Islam yang diperjuangkan parti, perlu dilihat tanda arasnya. Sudahkan mencapai tahapan yang benar atau sekadar retorik yang dikumandangkan?

Pedulikah khabar ahli-ahli yang konsisten bekerja?

Bagaimana khabar kebajikan ahli-ahli yang bekerja memenangkan PRU-14 yang lalu?
Sudahkah mereka disantuni dengan selayaknya? Boleh jadi akan ada yang jawab, “Banyak tu, mana nak dapat ziarah semua.”

Ya, benar, sebagaimana kata-kata ulama terdahulu, “Jika tidak dapat semua, jangan
ditinggalkan semua.” Islam adalah agama yang mudah. Mudah di sini adalah kemudahan dalam menjalankan perintah Allah Subhanahu Wa Taala dan Sunnah Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam.

Namun, janganlah sampai mengabaikan suara-suara mereka yang dari awal telah sudi
bersama mengorbankan segalanya untuk melihat parti ini berdiri gah, kerana merasakan
parti ini adalah yang terbaik buat masa ini, daripada yang sebelumnya. Saya yakin, pimpinan parti di semua peringkat mengikuti arus dan khabar melalui medium
media sosial, sesekali ambillah waktu memberi maklumbalas terhadap isu yang ahli-ahli
inginkan jawapannya. Bukan biarkan ia berlegar tanpa jawapan.

Situasi kejatuhan 22 bulan jadikan muhasabah terbesar. Di mana mereka yang sedia
berkhidmat siang dan malam demi kejayaan dan kelangsungan Parti Amanah ini?
Saya pasti, mereka bukan menangih jawatan atau imbalan. Tetapi mahu mengajak pimpinan Amanah juga rakan yang bersama dalam Pakatan Harapan, agar berfikir sejenak, kenapa orang yang tidak bekerja diambil menjadi orang kanan atau menjawat jawatan penting dalam kerajaan, tidak kira di peringkat pusat mahupun negeri pada waktu itu?

Hinggakan ada yang sanggup mengambil orang yang mengejek calon Pakatan Harapan ketika PRU-14 lalu, menjadi orang penting, sehingga kini. Bukankah itu kartel atau toksik dalam politik? Boleh jadi manusia-manusia sebegitulah yang akan menjadi perosak dari dalam. Berhati-hatilah.

Muhasabah kita bersama.

Polemik yang dicipta di beberapa negeri yang gelodaknya kian terserlah, seharusnya
dihentikan segera. Segala ini perlu kembali ke landasan serta matlamat perjuangan yang
sebenarnya. Jika ia berlarutan, akan merosakkan agenda yang disasarkan parti
sebagaimana dalam pilihanraya umum (PRU) ke 14 lalu. Rakyat memerhati dan para pimpinan parti perlulah lebih bijak dan sigap menangani isu-isu yang bertandang.

Apalagi membuat keputusan membelakangkan parti. Rakyat memerhati situasi yang sedang berlegar ini. Jangan dengan tindakan melulu segelintir mereka yang punya jawatan merosakkan parti yang diperjuangkan ini.

Di mana nilai integriti diri, sehingga sanggup melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya
dilakukan oleh ahli parti apalagi berjawatan dalam parti? Sewajarnya, ambillah waktu, merenung kembali apakah yang telah disumbangkan sehingga diri merasakan lebih baik daripada orang lain yang terpilih? Seandainya, ketidak puasan hati itu wujud juga, berusahalah menghadap pimpinan atasan dengan hujjah yang benar atau paling tidak membuktikan diri seorang yang berjiwa besar mengakui, jawatan itu bukanlah
berpihak kepadanya.

Kita tidak punya masa yang banyak lagi. Kalau suatu waktu dulu, perkara atau isu sebegini terjadi bukan sebab orang dalaman yang mencetuskannya, tetapi pihak luar atau dengan kata mudahnya, parti lawan yang berusaha mencipta percakaran agar terjadi. Ironinya, situasi ini sebaliknya, kini.

Sebagaimana kata Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul
Rijal Abu Bakar berkata, apa sahaja jawatan yang diserahkan kepada seseorang tidak
seharusnya dianggap sebagai lesen untuk bertindak sewenang-wenangnya.
Justeru, dengan adanya jawatan dalam parti atau dilantik dalam organisasi tertentu, ia
bukanlah sesuatu kebanggaan melainkan amanah yang berat dan perlu dipikul dengan
sesungguhnya.

Jawatan bukan ‘hak milik’ kekal

Sekiranya seseorang itu mempunyai tugasan yang hakiki dan perlu diberikan fokus serta
komitmen, adalah wajar ia melepaskan jawatan yang lain sebagai contoh dalam parti atau
agensi lainnya agar ia tidak menjejaskan komitmen yang utama. Jika keadaan itu mampu
ditangani dengan sebaiknya dan rasional, tentunya seseorang itu dapat mengawal tindakan yang berlaku dengan berhikmah.

Kerana tidak mampu memikul tugasan kepimpinan, adalah lebih baik dilepaskan segala
tanggungjawab itu. Mungkin kata-kata ini adalah yang terbaik dipegang oleh semua
pemimpin di mana pun posisi mereka berada. Ini kerana ia melibatkan soal integriti dan
kompetensi yang perlu dipasakkan utuh dalam diri seseorang itu.

Realitinya, tentu ia sesuatu yang sukar untuk dilakukan oleh seseorang itu, jika dirinya
merasakan jawatan itu ‘hak miliknya.’ Seharusnya demi kemaslahatan yang lebih besar, ia
perlulah bersikap rasional apalagi ia melibatkan maruah diri dan integriti.
Tanpa disedari, sering ketika seseorang itu merasakan telah mempelajari atau menguasai
sesuatu, mereka cenderung merasa paling bagus dan menilai orang lain seakan-akan tiada ilmu.

Allah Subhanahu Wa Taala berfirman yang ertinya; “Dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan)mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih dalam perut ibumu. Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.” (Surah An Najm ayat 32) Seharusnya kita ingat juga sabda Nabi Salallahu Alaihi Wasallam yang ini;

“Janganlah menyatakan diri kalian suci. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Taala yang
lebih tahu manakah yang baik di antara kalian.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hakikatnya, kita sebagai manusia dan hamba kepada Pencipta seharusnya ingat bahawa
ketika jari telunjuk mengarahkan kepada orang lain, yang ia anggap salah, tidak suci, punya kekurangan, dan tidka tahu dengan sesuatu hal, maka harus diingat, ada empat jari lain yang mengarah kepada diri sendiri.

Situasi ini menjelaskan agar jangan sampai seseorang itu rajin atau sibuk melihat dan
menguruskan kekurangan orang lain hingga membuat ia lupa bercermin pada diri sendiri
yang juga penuh dengan kekurangan dan kekhilafan. Daripada Abu Hurairah RA, baginda Salallahu Alaihi Wasallam bersabda; “Salah seorang daripada kalian dapat melihat kotoran kecil di mata saudaranya tetapi dia lupa akan kayu besar yang ada di matanya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dalam Adabul Mufrod no. 592)

PRU-15 makin dekat

Kita tidak punya banyak masa. Bila-bila sahaja selepas tamat darurat yang berlangsung
sekarang ini, tentu akan diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) 15. Apa persiapan kita untuk
mendepaninya? Sudahkah kita mempersiapkan jentera untuk mengekalkan kerajaan negeri dan mendapatkan kembali kepercayaan rakyat untuk memimpin kerajaan pusat kembali?

Suka saya mengajak semua pimpinan dan ahli parti koreksi kembali diri agar tidak terus
hanyut dengan ‘rasa hati’ sendiri sehingga melupakan tujuan utama berparti. Di samping itu, teruslah bergerak bersama dengan semangat setiakawan kerana Allah, tanpa membawa agenda sendiri.

Muhasabahlah kita kerana Allah.

Atriza Umar
Mantan AJK AWAN Nasional.