Razali diburu polis bagi membantu siasatan kes penemuan syabu bernilai RM22.46 juta di Bukit Mertajam pada Khamis lalu.

SEBERANG PERAI – Dalang utama sindiket pengedaran dadah bernilai RM22.46 juta yang dilumpuhkan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Juru Sentral, Bukit Mertajam di sini Khamis lalu kini dalam buruan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, suspek dikenali sebagai Razali,37, yang berasal dari Aceh diburu bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan penyewa sebuah unit kediaman di Kondominium Sentral, Jalan Juru Sentral yang juga lokasi sebahagian dadah dijumpai.

“Suspek itu amat penting bagi pihak polis melengkapkan siasatan kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Sity Najwa Mohd. Abd. Latif di talian 010 2882 662.

Terdahulu polis turut memburu dua suspek yang meloloskan diri ketika serbuan berkenaan iaitu lelaki dari Aceh dikenal pasti sebagai Hafis Fareza, 21, dan Zulfikar, 32.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan, polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas dua anggota URB mengesan tiga lelaki sedang memunggah dadah syabu dari sebuah lori di Bukit Mertajam pada Khamis lalu.

Seorang suspek berusia 23 tahun berjaya ditahan dalam kejadian jam 2 pagi itu, manakala dua lagi berjaya melarikan diri.

Susulan tangkapan itu, polis menemui 601 bungkus syabu seberat 623.76 kilogram bernilai RM22.46 juta. – MalaysiaGazette