Sekumpulan lelaki mengamuk di restoran di Brickfields pada Ahad lalu.

KUALA LUMPUR – Seroang remaja antara lima individu ditahan polis bagi membantu siasatan kes sekumpulan lelaki mengamuk di sebuah restoran di Brickfields baru-baru ini.

Ia menjadikan jumlah suspek yang ditahan setakat ini menjadi lapan orang daripada 11 suspek yang dikehendaki polis dalam kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua mereka ditahan hasil operasi khas dan serbuan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Cawangan D7 dan D9 IPD Brickfields sejak lewat malam hingga awal pagi tadi.

Menurutnya, suspek pertama ialah seorang lelaki berusia 23 tahun yang ditahan pukul 11.15 malam tadi di PPR Raya Permai, Kampung Malaysia Permai, Jalan Sungai Besi diikuti suspek kedua, seorang lelaki berusia 22 tahun di Jalan Chempaka, Taman Cempaka Ampang pukul 1.21 pagi.

“Suspek ketiga ditahan pukul 1.21 pagi tadi di Rumah Pangsa Sri Selangor berusia 22 tahun diikuti suspek keempat juga berusia 22 tahun yang berasal dari Jalan Pandan Indah ditangkap sekitar 1.37 pagi tadi di tepi Jalan Travers Off Jalan Selangor ketika dalam keadaan mencurigakan.

“Manakala suspek kelima seorang remaja berusia 19 tahun berkacukan India dan Cina berasal dari Taman Permai Bangi ditahan sekitar jam 2. 26 pagi tadi di Jalan Travers, Off Jalan Selangor,” katanya dalam kenyataan kejayaan hari ini.

Tambah Anuar, polis menjalankan semakan rekod dan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata.

Mereka merupakan antara 11 suspek individu yang diburu polis bagi membantu siasatan kejadian itu.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan penahanan tiga suspek bagi membantu siasatan sekumpulan lelaki yang mengamuk di Restoran Daun Pisang Sri Paandi, Little India Brickfields sekitar 10.15 malam pad Ahad lalu gara-gara tidak puas hati dengan pemilik dan pekerja restoran yang enggan mengambil pesanan di waktu penutupan operasi kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan ketiga-tiga suspek berusia 27 hingga 35 tahun itu merupakan warga tempatan di tahan di ibu negara di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis tahan tiga lelaki mengamuk restoran enggan ambil pesanan