Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana melepaskan sebahagian ikan sebagai gimik pelancaran Program Jom Memancing di Zoo Negara, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Berita baik bagi kaki joran di sekitar ibu kota.

Mereka kini buat pertama kali berpeluang memancing di Tasik Tunku Abdul Rahman yang terletak di Zoo Negara mulai Jumaat ini.

Ia merupakan salah satu cara Zoo Negara menarik pengunjung terutama masa perintah kawalan akibat pandemik Covid-19 sekarang.

Apa yang menarik selain memenuhi hobi masa lapang, pemancing dapat menghayati keindahan flora dan auna di Zoo Negara dengan bayaran RM35 sahaja bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @Rahmat Ahmat Lana berkata, aktiviti memancing bakal menarik pengunjung  dan menghidupkan semula taman haiwan negara itu selepas operasinya dihentikan selama 28 minggu baru-baru ini.

Ikan kerapu yang akan dilepaskan sebagai gimik pelancaran Program Jom Memancing di Zoo Negara, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2021.

“Sempena pelancaran Program Jom Memancing@Zoo Negara, 900 kilogram ikan dilepaskan ke tasik dan pengunjung termasuk pemancing bakal menikmati diskaun 20 peratus pada Jumaat ini.

“Operasi hanya terhad kepada 90 pengunjung sahaja yang dibenarkan berada di sekitar Tasik Tunku Abdul Rahman dan kawasan zoo bagi mematuhi SOP.

Selain itu, katanya, pemancing juga berpeluang membawa hasil tangkapan ikan yang tidak melebih 10 kilogram untuk dibawa pulang.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana melepaskan sebahagian ikan sebagai gimik pelancaran Program Jom Memancing di Zoo Negara, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2021.

Hari ini beliau dan kakitangan Zoo Negara melepaskan 900 kilogram ikan Keli Afrika dan Rohu ke Tasik

Selain itu, Rosly berkata, pihaknya juga merancang menganjurkan Program Rimba Reptilia, siaran maya secara langsung dan Zoo Fit 2021 kepada pengunjung.

Zoo Negara Kuala Lumpur mempunyai lebih 4, 000 spesies haiwan dan dibuka sejak 14 November 1963 dan baru-baru ini menjadi kontroversi apabila mengalami masalah kewangan untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.- MalaysiaGazette