Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan agihan keuntungan yang lebih stabil pada masa hadapan selaras dengan matlamat penubuhannya mengurus wang umat Islam bagi mengerjakan ibadah haji.

Kadar pulangan yang lebih lestari penting kerana bakal jemaah haji perlu menunggu giliran menunaikan ibadah itu disebabkan kuota haji yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi akibat pandemik Covid-19.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, ia amanah mereka yang paling besar dalam memastikan kelangsungan TH lebih 100 tahun lagi.

“Ini bermakna keselamatan pelaburan amat penting dan TH tidak boleh mengambil risiko yang terlalu tinggi, lebih-lebih lagi dengan kesan penyusutan ekonomi negara dan dunia disebabkan pandemik Covid-19 pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, Nik Mohd Hasyudeen berkata, TH akan terus bekerja keras mencari peluang pelaburan untuk mencapai pulangan yang terbaik walaupun berdepan keadaan pasaran pelaburan yang mencabar.

Semalam, TH telah mengumumkan agihan keuntungan yang lebih baik sebanyak 3.10% selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding 3.05% pada tahun 2019, kepada kira-kira sembilan (9) juta pendepositnya. -MalaysiaGazette