Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR – Sewajarnya tiada lagi pertikaian berkenaan hala tuju politik UMNO kerana keputusan yang dibuat hasil daripada perbincangan parti.

Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan berkata, sekarang terserah kepada kepada kepimpinan dan warga UMNO untuk menjayakan keputusan tersebut selain berusaha memastikan UMNO berada atas landasan kukuh.

Tindakan ini bukan sahaja untuk meyakinkan ahli tetapi rakyat keseluruhannya bahawa parti ini adalah pilihan terbaik mendepani masa depan negara pasca PRU-15.

“Kerana akhirnya, dengan izin Allah, rakyat jua yang akan menentukan nasib semua parti politik di peti undi kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahril, sebelum PRU-15, UMNO serta wakil-wakilnya dalam badan eksekutif bersedia meneruskan kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional dan memainkan peranan masing-masing, demi kemaslahatan rakyat.

Dalam konteks politik matang, tentunya UMNO akan menghormati keputusan parti lain seperti mana mereka juga perlu menghormati ketetapan UMNO, ujar beliau.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya sebelum ini berkata, keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dicapai setelah megambil kira pandangan akar umbi.

Beliau berkata, keputusan tersebut juga dibuat setelah mempertimbangkan secara cermat buruk baiknya keberadaan dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemiki Covid-19.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada kerjasama dengan Bersatu diputuskan setelah ambil kira pandangan akar umbi