Benarkah pemilihan UMNO tahun ini ditangguhkan?

KUALA LUMPUR – UMNO mungkin menangguhkan pemilihan parti tahun ini, bagi memberi peluang kepada kepimpinan untuk membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut sumber dalaman, cadangan penangguhan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Janda Baik, Pahang pada 19 Februari lalu, selepas mengambil kira keputusan kerajaan menamatkan tempoh darurat pada 1 Ogos ini.

Katanya, UMNO empat peringkat sepatutnya mengadakan pemilihan parti tahun ini bagi memilih barisan kepimpinan pusat, negeri, bahagian dan cawangan.

Namun, disebabkan pilihan raya dijangkakan diadakan tahun ini, iaitu lebih awal dari tamat penggal PRU15 pada 2023, maka kepimpinan bercadang untuk mengutamakan gerak kerja bagi menumpukan PRU.

Kata sumber itu lagi, MT mempunyai kuasa untuk menangguhkan pemilihan sehingga 18 bulan dari tarikh sepatutnya diadakan pemilihan baru.

Setakat ini, belum ada ura-ura jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan, tetapi pada masa sama, kedengaran ada individu tertentu dalam UMNO mahu merebut jawatan itu. – MalaysiaGazette