Sebahagian daripada lapan gorila di Taman Negara Zoo San Diego yang dijangkiti Covid-19 pada Januari lalu dan kini semakin pulih. foto Reuters

LOS ANGELES – Sembilan beruk gergasi di Zoo San Diego – empat orang utan dan lima bonobo – merekodkan sejarah veterinar apabila diberi vaksin Covid-19.

Salah seekor yang menjadi penerima vaksin itu ialah orang utan Sumatera berusia 28 tahun, bernama Karen.

Karen pernah menjalani pembedahan jantung terbuka pada tahun 1994.

Kesemua haiwan itu menerima dua dos vaksin eksperimen yang pada asalnya dirancang untuk anjing dan kucing.

Setakat ini, kesemua haiwan itu tidak menunjukkan reaksi negatif dan dalam keadaan baik, kata jurucakap zoo berkenaan, Darla Davis.

Zoo San Diego melakukan program vaksinasi kerana bimbang dengan keselamatan haiwan-haiwan tersebut selepas lapan gorila di Taman Safari Zoo San Diego dijangkiti Covid-19 pada bulan Januari lalu.

Kes itu menandakan penularan virus pertama ke atas beruk gergasi.

Lapan gorila, termasuk “silverback” jantan berusia 48 tahun bernama Winston menderita radang paru-paru dan penyakit jantung, kini bertambah baik, kata Davis.

Winston dirawat dengan berbagai-bagai jenis ubat, termasuk terapi antibodi koronavirus untuk bukan manusia.

Gorila-gorila tersebut tidak divaksinasi kerana sudah mempunyai sistem kekebalan tubuh terhadap virus.

Haiwan-haiwan itu dipercayai dijangkiti Covid-19 daripada seorang kakitangan yang positif tetapi tidak bergejala.

Orang utan dan bonobo dipilih untuk imunisasi kerana aling berisiko terkena virus dan antara yang paling mudah diinokulasi.

Kakitangan veterinar yang melakukan vaksinasi itu dengan mengalihkannya tumpuan haiwan-haiwan tersebut daripada jarum suntikan dengan makanan ringan.

Program vaksisnasi itu dilakukan ke atas sebahagian haiwan pada bulan Januari dan Februari lalu, bersambung pada bulan ini.

Vaksin yang dibangunkan oleh Zoetis – sebuah syarikat farmaseutikal veterinar tidak melakukan uji kaji ke atas beruk. – MalaysiaGazette