Pesawat MH604 membawa vaksin Pfizer-BioNTech selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Sepang, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 21 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 telah menyebabkan industri penerbangan lumpuh akibat penutupan sempadan negara bagi membendung penularan wabak tersebut sehingga mengakibatkan ribuan pesawat tersadai di seluruh dunia.

Industri penerbangan komersial mengalami sendiri kesan buruk seperti terbukti dalam prestasi kewangan aeroangkasa awam dan perniagaan yang berkaitan.

Di Malaysia, aeroangkasa telah dikenal pasti sebagai industri strategik dengan sokongan daripada sektor perindustrian sehingga program pembangunan teknologi. Pelan Pembangunan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 adalah inisiatif penting dalam menetapkan visi dan mempunyai kepentingan yang lebih besar.

Sebilangan besar pakar dalam industri penerbangan bersetuju bahawa prospek pemulihan mungkin memerlukan lebih dari tiga tahun untuk mencapai tahap lalu lintas sebelum krisis walaupun negara mungkin tidak dapat melihat lagi jumlah lalu lintas pra-Covid-19 sebelum akhir tahun 2021.

Bagi Pengurus Besar Pemasaran dan Pembangunan Penerbangan Malaysia Airport Holdings Berhad, Mohammed Sallauddin Mohamed Shah, pihaknya sedang mempersiapkan fasa pemulihan dengan rancangan untuk meningkatkan kerjasama dengan syarikat penerbangan tempatan dan asing untuk menghidupkan semula perjalanan udara domestik dan antarabangsa serta bekerjasama dengan badan pelancongan Persekutuan dan Negeri.

Beliau berkata, walaupun kapal terbang penumpang terjejas namun ada hikmah di sebaliknya kerana penerbangan kargo udara telah mendapat keuntungan daripada penurunan kapasiti menyaksikan peningkatan hasil dan pendapatan.

“Pakar industri merumuskan bahawa krisis Covid-19 menawarkan peluang untuk menggerakkan perubahan dalam industri penerbangan. Kriteria yang sama tidak mungkin dipenuhi tanpa  mereka mengkaji semula syarikat mereka dari atas ke bawah, bawah ke atas dan mengubah operasi dan prosedur mereka menjadi lebih baik.

“Pengawal selia antarabangsa dari pelbagai negara harus  bekerjasama untuk memelihara industri ini. Kerjasama daripada semua pihak sangat penting untuk proses pemulihan. Tanpa persiapan dan program yang betul dan selaras untuk semua negara, ianya adalah sukar untuk dicapai,” katanya.

Kaunter daftar masuk penumpang dilihat lengang ketika tinjauan lensa Malaysia berkenaan sektor pelancongan sempena Belanjawan 2021 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) Sepang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2020

Beliau berkata demikian pada siri webinar mengenai Industri Penerbangan – Membawa Kita Ke Angkasa Lagi? anjuran Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) melalui siri laman sesawangnya – Road to Recovery dengan kerjasama Kumpulan Disiplin Pembangunan Sains & Teknologi dan Industri (STDI) dibawah Akademi Sains Malaysia (ASM) di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Presiden Asia Tenggara, Pasifik dan Korea Selatan, Rolls-Royce Asia, Dr Bicky Bhangy dalam ucaptamanya menekankan bahawa di Asia, perjalanan udara dipengaruhi oleh peningkatan jumlah kes tertangguh bagi membolehkan perjalanan udara dapat diteruskan semula.

Jelas beliau, hasil maklum balas, kerajaan telah memberikan sokongan kepada syarikat penerbangan tempatan untuk mengelak muflis.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, MIGHT Dr Raslan Ahmad memberitahu, sektor penerbangan adalah salah satu industri yang paling terkesan ketika wabak ini melanda.

Menurutnya, ia telah mengejutkan industri selepas Perang Dunia Kedua. Sebelumnya, kesan buruk daripada serangan 9/11 dan krisis kewangan global 2007-2008 dianggap dramatik tetapi tidak dapat dibandingkan dengan skala anggaran situasi semasa yang dihadapi industri penerbangan global.

Deretan pesawat Air Asia di klia2, Sepang. foto MALAYSIA GAZETTE

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata,  wabak Covid-19 memberi peluang kepada syarikat penerbangan untuk menilai dan mencipta semula.

Jelas beliau, dengan perubahan perjalanan udara, AirAsia telah menyesuaikan diri dengan cepat untuk memastikan protokol dipenuhi dan juga untuk mengekalkan pekerjanya.

“Salah satu kaedah tersebut adalah dengan mengelakkan berlakunya sentuhan melalui pendigitan sistem dan prosedur daripada awal hingga akhir.

“Ini merangkumi proses seperti pendaftaran dan menaiki pesawat dengan mematuhi jarak fizikal,” katanya. – MalaysiaGazette