Petugas Sel Care mengambil sampel ujian saringan Covid-19 penduduk orang asli berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Dewan Desa Temuan, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes positif baharu Covid-19 kekal berada di bawah paras 2,000 apabila sebanyak 1,529 kes direkodkan untuk tempoh 24 jam sehingga jam 12 tengahari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,520 kes merupakan penularan tempatan manakala sembilan lagi adalah kes import.

“Jumlah kes sembuh baharu pula adalah sebanyak 2,076 menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih setakat ini adalah 294,034 kes,” katanya menerusi kenyataan berhubung status terkini Covid-19, hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kes dengan kebolehjangkitan Covid-19 yang dilaporkan pula adalah sebanyak 19,778 yang mana 160 pesakit dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala, 79 kes lagi memerlukan bantuan alat pernafasan.

Beliau turut memaklumkan, terdapat lapan lagi kes kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia akibat Covid-19 meningkat kepada 1,177 kes. – MalaysiaGazette