Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pengambilan garam seharusnya tidak melebihi lima gram atau kurang dari satu paras sudu teh sehari.

Pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi (tekanan darah tinggi), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, hipertensi tidak terkawal akan menyebabkan penyakit jantung serta strok dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.

”Kajian pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia (MyCoSS 2017/2018) mendapati bahawa purata pengambilan garam adalah sebanyak 7.9 gram sehari atau bersamaan dengan 1.6 sudu teh,” katanya sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia disambut pada 8 hingga 14 Mac 2021.

Tema tahun ini adalah Tambah Perisa Asli, Sedikit Garam Mencukupi (More Flavour, Less Salt).

Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih mengambil garam melebihi daripada saranan yang ditetapkan untuk kurang daripada 5.0 gram (1 paras sudu teh) dalam sehari, ujar beliau.

Tambah Noor Hisham, KKM telah melaksanakan Program Pengiodinan Garam Secara Universal (Universal Salt Iodization, USI) yang berkuatkuasa di seluruh Malaysia pada 1 Januari 2021.

Ia merupakan salah satu intervensi kesihatan awam dalam kalangan masyarakat sebagai usaha mencegah dan mengawal masalah kesihatan akibat kekurangan iodin (Iodine Deficiency Disorder, IDD).

Sempena dengan sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2021, KKM  menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar lebih prihatin dengan mengambil langkah-langkah mudah yang disarankan bagi mengurangkan pengambilan garam untuk tidak melebihi 5 gram sehari.

Pilihlah untuk makan secara sihat dengan mengurangkan pengambilan garam dengan mengambil langkah-langkah berikut:

• Kenali nama lain bagi garam dalam makanan, seperti Sodium Nitrate, Sodium Bicarbonate, Monosodium Glutamate dan lain-lain;

• Baca label dan bandingkan maklumat kandungan natrium sebelum membeli makanan;

• Hadkan pengambilan garam tidak melebihi 1 paras sudu teh sehari termasuk garam beriodin bagi mengurangkan risiko sakit jantung dan strok;

• Utamakan perisa asli dan kurangkan penggunaan garam, sos dan kicap dalam masakan; dan

• Ubah suai masakan kepada lebih sihat dan kerap makan di rumah atau bawa makanan yang dimasak di rumah ke tempat kerja.

Tegasnya, kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan dalam usaha menjayakan strategi pengurangan pengambilan garam berlebihan di Malaysia.

”Semoga segala usaha kita untuk mengurangkan pengambilan garam berlebihan dapat membantu untuk mencegah dan mengawal penyakit hipertensi serta komplikasinya, dan seterusnya dapat mengurangkan kematian pramatang dalam kalangan rakyat Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette