KUALA LUMPUR – Usaha melemahkan UMNO masih berterusan sehingga saat ini termasuk menggunakan pendekatan ‘pisau, pen dan buku cek’ bagi memecah-belahkan parti itu mengikut perencanaan scheme of thing.
Namun, menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, partinya masih dipelihara Allah kerana terus mampu bertahan dan tetap utuh hingga kini disebabkan kekuatan dan keikhlasan akar umbi.
Jelas beliau, akar umbi yang merupakan rangkaian 3.5 juta ahli UMNO di 191 bahagian dan lebih 22,000 cawangan seluruh Malaysia terus setia berjuang mempertahankan wadah biar pun ada dalam kalangan pemimpin mudah gelabah dan ‘lari’ meninggalkan parti.
“Ya, jangan salahkan parti UMNO. Tetapi angkara segelintir pemimpin dan ahli yang lupa diri, lupa daratan dan lupa akar perjuangan akhirnya Tuhan takdirkan UMNO diuji hilang kuasa.
“Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kini setiap warga pejuang UMNO tidak boleh lagi melakukan kesilapan yang sama.
“Pesanan saya, jangan angkuh, jangan sombong untuk terus muhasabah, berubah dan lakukan koreksi. Jangan menari mengikut lagu dendangan musuh yang sentiasa khianat dengki,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi Facebooknya hari ini.
Beliau juga mengingatkan kepimpinan, ahli dan penyokong UMNO agar jangan membiarkan diri dipermain serta dimanipulasikan.
Begitu juga ahli UMNO jangan cepat percaya dengan cerita sensasi yang mencetuskan prasangka dan persepsi sebaliknya pertahankan tradisi serta institusi parti berpaksikan mantra keramat Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.
Asyraf Wajdi berkata, sejak UMNO ditakdirkan hilang kuasa pada Mei 2018, pelbagai usaha cuba dibuat untuk melemah dan menghancurkannya menggunakan banyak cara baik dari luar dan dalam.
Katanya, bermula seawal 2018 lagi, apabila usaha untuk mengharamkan UMNO dengan mengeksploitasi seramai 16 bekas ahli atas alasan melanggar perlembagaannya kerana membuat penangguhan pemilihan parti, sedangkan RoS sendiri meluluskan permohonan tersebut.
“Tidak cukup dengan tindakan mahkamah terhadap parti, diugut pula pimpinan UMNO untuk membubarkan parti jika tidak mahu didakwa dan diambil tindakan dalam pelbagai bentuk.
“Hakikatnya, ramai pemimpin UMNO diugut, ditekan dan digasak menggunakan pelbagai agensi di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) waktu itu.
“Ahli yang punya ketahanan terus kekal setia mempertahankan parti biarpun menjadi lilin membakar diri. Namun, tidak kurang juga yang cuak, gelabah dan tidak tahan diuji, lantas keluar meninggalkan parti,” katanya.
Beliau membidas segelintir pemimpin UMNO tergamak ‘menikam’ parti yang pernah mengangkat dan meletakkan mereka di posisi tertinggi lagi dihormati.
Ironinya, tegas beliau, mereka yang terpalit itu tiba-tiba terus disucikan dan tidak lagi kedengaran khabar sebarang tindakan mahupun pendakwaan. – MalaysiaGazette

















Sebagai pemimpin muda, tak payahlah ikut2 cara berpolitik spt mereka yg terdahulu – DOK MENYALAHKAN ORANG JER…… NAMA PUN PARTI LAWAN. Tak kan mereka nak jadi menjadi “pengulit tidur” pulak.
Pemimpin muda dlm umno harus berani meyingkap masalah dalaman kepimpinan parti dan berlapang dada utk membetulkannya.
Sebagai contoh – masalah utama kepimpinan umno adalah disebabkan ramai dari kalangan mereka “difitnah” sehingga umno/ bn kecundang di PRU lepas dan ramai dpd mereka telah dihadapkan kemahkamah selepas dari itu. Utk itu SEHARUSNYA mereka berkenaan ” dirihatkan” keahliannya sehingga kes mereka selesai.
Jika mereka masih memegang kepimpinan atau bebas berlegar membawa panji2 umno sebagai ” perisai” mereka, sudah tentu bahtera umno belayar seperti tidak bernahkoda – terumbang ambing merempuh badai.
Perkara seumpama inilah seharus keluar dari minda pemimpin2 muda – kena cepat
” menangkap” perkara2 yang menjadi bualan rakyat teramai dan tegas berani menyuara dan perjuangkannya……dari mengikut style lama (cara yg mudah) dok menyalahkan parti lawan.
Came on…….wake up bros!!!!