Halimah Mohamed Sadique

PUTRAJAYA – Bagi memantap dan memperkukuh kecekapan tadbir urus Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara, Kementerian Perpaduan Negara hari ini melancarkan buku panduan Pengurusan dan Pentadbiran Rukun Tetangga.

Menurut menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, buku tersebut akan dijadikan panduan dan rujukan Rukun Tetangga dalam mengurus dan melaksanakan program dengan lebih tersusun dan sistematik.

Malah ia juga akan memastikan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti berada pada tahap yang tinggi ke arah kesejahteraan komuniti.

“Buku ini menekankan aspek pengurusan dan pentadbiran dan jentera keseluruhan rukun tetangga dengan mengambil kira keperluan semasa terutamanya dalam konteks meremajakan rukun tetangga serta meningkatkan kualiti perkhidmatan KRT kepada komuniti.

“Selain itu, kementerian juga memperkenalkan kaedah penilaian ‘Star Rating’ KRT bertujuan untuk memantau, menilai dan meningkatkan kualiti pengurusan KRT di samping menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti kesukarelawanan,” katanya dalam ucapan pelancaran RT4ALL: Rukun Tetangga  Tonggak Perpaduan Komuniti di kementeriannya, pagi ini.

Untuk rekod, terdapat sebanyak 8,274 kawasan Rukun Tetangga di seluruh negara dengan jumlah keahlian seramai 248,220 orang.

Selain buku panduan itu, Halimah turut melancarkan logo bagi Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang dijenamakan semula beserta ves baharu kepada pasukan SRS Putrajaya.

Ini kali pertama SRS mempunyai vest dengan logonya sendiri.

Pada 28 Februari lalu, Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia bertujuan memperkasa peranan KRT di peringkat akar umbi menerusi kerjasama kementerian dan agensi berkaitan.

Di bawah pelan itu, empat Agenda Kerja KRT diperkenalkan iaitu Agenda Kerja KRT Selamat, Agenda Kerja KRT Sihat, Agenda Kerja KRT Bersih dan Indah serta Agenda Kerja KRT Sejahtera yang bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan inisiatif Rukun Tetangga. – MalaysiaGazette