Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR  Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menjelaskan berkaitan satu laporan yang mendakwa ia membuat pusingan U dalam melayani pembayar cukai yang menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).

Menurutnya, PKPS dilaksanakan mulai 03 November 2018 dan berakhir pada 30 September 2019.

Ia ditawarkan oleh kerajaan sebagai penyelesaian kepada pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai dengan tampil secara sukarela melaporkan pendapatan penuh dan membuat bayaran cukai mereka dalam tempoh yang sepatutnya.

Seramai 286,428 pembayar cukai telah mengambil peluang tersebut yang melibatkan jumlah cukai, cukai tambahan dan penalti sebanyak RM7.877 bilion.

PKPS juga berjaya menarik seramai 11,176 pembayar cukai baharu ke dalam jaringan cukai LHDNM.

Di bawah program PKPS ini, pembayar cukai telah diberi jaminan melalui Garis Panduan Operasi Bilangan 1 Tahun 2018 yang selanjutnya digantikan dengan Garis Panduan Operasi Bilangan 1 Tahun 2019 (GPO 2019) bahawa LHDNM akan menerima pengakuan sukarela yang dibuat dalam tempoh PKPS secara suci hati dan tindakan audit / siasatan tidak akan dilakukan pada masa akan datang bagi tahun-tahun taksiran yang terlibat dengan PKPS.

Sebagai rujukan, GPO 2019 ini boleh diakses dari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my atau pautan pantas berikut:
http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/GPO_1_2019_BM.pdf

Berdasarkan GPO 2019, jaminan bahawa tindakan audit/ siasatan tidak akan dilakukan pada masa akan datang bagi tahun-tahun taksiran yang terlibat dengan PKPS adalah tertakluk kepada keadaan-keadaan berikut: –

1. Perenggan 1.4 GPO 2019 menyatakan dengan jelas bahawa program ini diadakan bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela untuk melaporkan pendapatan penuh dan membayar cukai dalam tempoh yang sepatutnya;

2. Perenggan 5.3.4 GPO 2019 menyatakan pemakaian program ini terhadap kes-kes yang sedang diaudit / disiasat yang mana pengakuan sukarela yang dikemukakan adalah masih tertakluk kepada apa-apa penemuan audi /siasatan;

3. Perenggan 5.4 GPO 2019 menjelaskan bahawa pengakuan sukarela tidak terpakai bagi kes-kes yang tidak kena cukai, taksiran kurangan atau cukai kena dibayar balik. Program ini turut tidak terpakai bagi pengakuan yang melibatkan siasatan jenayah telah dimulakan atau prosiding pendakwaan susulan daripada siasatan jenayah telah difailkan di mahkamah berdasarkan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976, Akta Setem (AS) 1949 atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001;

4. Perenggan 5.8 GPO 2019 turut menyatakan dengan jelas bahawapembayar cukai dikehendaki memastikan pengakuan sukarela yang dibuat telah mengambil kira kesemua pendapatan yang boleh dikenakan cukai; dan

5. Perenggan 5.9 GPO 2019 menetapkan bahawa pihak LHDNM menerima maklumat pengakuan sukarela yang dibuat secara suci hati namun masih tertakluk kepada semakan pengiraan cukai dalam memastikan ketepatan pengakuan sukarela yang dikemukakan.

Setiap tindakan audit / siasatan oleh pihak LHDNM terhadap pengakuan sukarela ini dilakukan sekiranya pembayar cukai didapati gagal memenuhi ketetapan.

Tindakan ini seperti yang dinyatakan di perenggan lima di atas. GPO 2019 tersebut dengan jelas telah memberikan peringatan kepada pembayar cukai bahawa mereka perlu melaporkan pendapatan penuh dengan mengambil kira kesemua pendapatan yang boleh dikenakan cukai.

Katanya, hasrat bagi penetapan syarat pelaporan pendapatan penuh secara sukarela ini adalah bagi mengelakkan berlakunya penipuan (fraud) pelaporan pendapatan oleh mana-mana pembayar cukai yang menyalahgunakan program ini.

Dengan lain perkataan, PKPS yang dilaksanakan turut menuntut kejujuran pembayar cukai dalam membuat pengakuan dan pelaporan cukai.

LHDNM juga menjelaskan bahawa layanan cukai bagi setiap kes yang diterima dan disemak adalah berdasarkan fakta dan merit kes.

Pembayar cukai yang mahu mendapatkan maklum balas atau penjelasan selanjutnya atas tindakan audit atau siasatan cukai yang dilakukan terhadap mereka boleh hadir ke pejabat LHDNM yang mengendalikan fail percukaian mereka. – MalaysiaGazette