Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin (tengah) bercakap pada sidang media berkaitan isu lebih 1,000 pengamal media hilang pekerjaan di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 09 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang menubuhkan yayasan bagi membela nasib bekas pengamal media yang kehilangan pekerjaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, cadangan itu masih peringkat perbincangan bersama dengan persatuan-persatuan melibatkan media.

Bagaimanapun, beliau menjangka yayasan tersebut dapat ditubuhkan dalam tempoh terdekat.

“Yayasan ini bukan sahaja berfungsi untuk membantu bekas petugas media yang kehilangan pekerjaan berikutan impak perubahan industri dan kesan penularan Covid-19 malah bagi kegunaan bantuan kebajikan petugas industri terbabit.

“Yayasan ini akan diurus oleh persatuan media dengan dibantu oleh kerajaan. Kalau boleh, perlu ada campur tangan kerajaan kerana tanpa campur tangan kerajaan, kejayaan (yayasan) sukar untuk dicapai.

“Kita (KKMM) juga berhasrat kalau boleh diberikan pengecualian cukai kepada mana-mana syarikat yang membantu yayasan ini,” katanya pada sidang media di Wisma TV Angkasapuri  hari ini.

Terdahulu, Zahidi mempengerusikan mesyuarat hampir dua jam bersama wakil daripada enam persatuan pengamal media tempatan termasuk persatuan bekas wartawan dan jurugambar.

Mengenai mesyuarat itu, Zahidi berkata, persatuan-persatuan terbabit turut merayu agar kerajaan mempertimbang mewujudkan peruntukan atau dana khas bagi membantu petugas industri berkenaan yang terjejas akibat Covid-19. – MalaysiaGazette