Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual-Beli Tanah di Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam, Kedah Antara Syarikat Northern Gateway Free Zone Sdn Bhd dan Hartalega NSM Sdn Bhd di Kementerian Kewangan Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Cadangan pembangunan Kompleks Kilang Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu di Zon Sempadan Ekonomi Khas Bukit Kayu Hitam (BKH SBEZ) Kota Perdana mampu memberi sumbangan kepada ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini kerana jumlah pelaburan sebanyak RM7 bilion oleh syarikat pembuatan sarung tangan perubatan, Hartalega NSM Sdn. Bhd. akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat bagi kawasan bandar sempadan di Bukit Kayu Hitam.

Jelas beliau, selain itu kawasan sekitarnya serta limpahan penggunaannya juga bakal dapat diterjemahkan melalui penjanaan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan baharu bagi penduduk di Kedah.

Menurutnya, ia juga akan memacu perkembangan ekonomi di Wilayah Utara dan menyumbang kepada aspirasi pembangunan negara dengan kesan limpahan positif yang besar bagi wilayah itu.

“Setelah siap, projek ini dijangka menghasilkan lebih dari 12,000 peluang pekerjaan dan meningkatkan bakat dan vendor tempatan di samping menyokong pembangunan infrastruktur.

“Saya juga yakin, dengan pengumuman pelaburan oleh Hartalega hari ini, ianya akan menjadi pendorong kepada pemain-pemain industri lain untuk memilih SBEZ Kota Perdana sebagai lokasi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tanah di SBEZ, Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam, Kedah Antara Syarikat Northern Gateway Free Zon Sdn. Bhd. dsb Hartalega NSM Sdn. Bhd. di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diiringi Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengarah Northern Gateway Free Zone, Syaiful Hafiz Moamat Mastam (dua kanan) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega Holdings Berhad, Kuan Mun Leong (dua kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual-Beli Tanah di Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam, Kedah Antara Syarikat Northern Gateway Free Zone Sdn Bhd dan Hartalega NSM Sdn Bhd di Kementerian Kewangan Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2021.

Perjanjian jual beli tanah itu merakamkan detik penting bagi Northern Gateway yang merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Perbadankan (MKD) dan selaku pemaju hartanah utama yang telah dipertanggungjawabkan untuk menarik perhatian strategi dan berimpak tinggi ke SBEZ Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam, Kedah di samping meningkatkan portfolio peningkatan industri hartanah di kawasan pembangunan sempadan Malaysia-Thailand khas di Kedah.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memberitahu, pembangunan komponen-komponen hartanah di SBEZ Kota Perdana adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Kewangan melalui Northern Gateway untuk menjenamakan semula konsep pembangunan di bandar sempadan Bukit Kayu Hitam.

Kata beliau, dalam suasana semasa, di era globalisasi dan ekonomi tanpa sempadan, fungsi dan organisasi bandar-bandar sempadan negara ini juga mesti berkembang dan berubah.

Menurutnya, kelebihan dan potensi yang dimiliki oleh bandar sempadan Bukit Kayu Hitam yang juga merupakan perdagangan rentas sempadan utama di utara Semenanjung Malaysia dengan nilai kira-kira RM 40 bilion setahun wajar dimanfaatkan semaksimum mungkin.

“Saya difahamkan bahawa aktiviti ekonomi utama di sekitar bandar sempadan Bukit Kayu Hitam pada masa kini masih tertumpu kepada aktiviti sektor perkhidmatan logistik rentas sempadan.

“Persoalannya, kita iaitu negara secara amnya dan negeri Kedah khasnya tidak harus berpuas hati dengan hanya menyediakan eksport bagi bahan mentah dan komoditi dari negara jiran,” katanya. – MalaysiaGazette