GEORGE TOWN – Dua buah kilang pembuatan fucuk yang beroperasi hampir 50 tahun dikompaun selepas didapati mengabaikan tahap kebersihan dalam menghasilkan produk makanan tersebut.

Kilang di Solok Lembah Permai, Tanjung Bungah itu juga didapati beroperasi tanpa lesen yang sah selain menjadikan tanah perumahan sebagai pusat memproses fucuk sejak turun-temurun.

Keadaan kotor pada peralatan yang digunakan bagi proses menghasilkan fucuk di sebuah kilang di Tanjung Bungah di sini.

Operasi yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) kira-kira jam 10 pagi tadi turut membawa kepada penemuan tikus di kawasan pemprosesan fucuk selain peralatannya kotor.

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata, bertindak atas risikan dan pemantauan sejak dua minggu lalu mendapati pemilik kilang berkenaan masih gagal mengekalkan tahap kebersihan yang optima walaupun amaran sudah diberikan sebelum ini.

Katanya, pemilik kilang bersebelahan itu menggunakan peralatan kayu bagi memproses fucuk dan ia sekali gus menyebabkan berlaku pencemaran dalam makanan.

Mohd Wazir

“Hasil serbuan hari ini mendapati tiada kerja pembersihan berkala dilakukan oleh pemilik kilang malah penggunaan kayu untuk proses menghasilkan fucuk dilonggokkan sekitar dalam premis.

“Dalam serbuan itu juga, kita dapati pemilik sudah menghadiri kursus Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) namun masih gagal memastikan kebersihan di bawah Akta Makanan 1983,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.

Longgokkan kayu di dalam dan luar kilang fucuk dipercayai mampu mengundang kehadiran tikus.

Turut sama dalam operasi itu, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Tambah Mohd Wazir, tiada arahan henti operasi dikeluarkan namun meminta pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan sewajarnya memandangkan dua premis berkenaan beroperasi tanpa lesen.

“Tiga kompaun dikeluarkan di bawah Akta Makanan 1983 yang keseluruhannya berjumlah RM7,500 kepada pengusaha berkenaan.

Dua buah kilang proses fucuk beroperasi tanpa lesen yang sah sejak 50 tahun lalu.

“Kita juga difahamkan kilang terbabit membekalkan fucuk ke kedai runcit di sekitar Pulau Pinang dan tidak mempunyai label pembungkusan yang sah,” kata beliau. MalaysiaGazette

1 Komen

  1. MAsih dibiarkn ker… Rasanya buln lepas dh kena kompaun… Ni buat lgi.. Mmg x serik… Tutup terus laa

Comments are closed.