Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15, UMNO perlu menampilkan calon-calon yang bebas daripada kes-kes mahkamah dan tidak sombong, tegas Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Selain itu, calon-calon UMNO perlu memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran, bukan sekadar duduk di dalam pejabat dan mengeluarkan perintah.

“Mereka (calon) perlu menjadi sebahagian daripada rakyat. Bukan daripada golongan elit,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

Beliau memberi contoh Datuk Nik Abdul Aziz Nik dan Tunku Abdul Rahman.

Katanya, Nik Aziz adalah pemimpin yang merendah diri dan sentiasa bersedia bertemu orang.

“Dia rendah hati. Rakyat mahukan individu yang boleh membincangkan masalah mereka,” katanya.

Tambahnya, ahli-ahli politik juga harus bersedia menjawab soalan melalui telefon bimbit mereka kerana rakyat mahukan jawapan.

“Kita perlu bertindak balas. Kita tidak boleh mengabaikan persekitaran kita. Itu adalah tanggungjawab kita,” ujar beliau yang lebih mesra disapa Ku Li.

Tunku Abdul Rahman pula adalah pemimpin yang dihormati oleh semua orang kerana beliau menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.

“Sukar untuk mencari pemimpin seperti itu. Dia diterima sebagai seorang ayah oleh orang Cina, Dayak dan semua orang,” ujarnya.

Ku Li merupakan Ahli Parlimen paling lama berkhidmat turut mengingatkan ahli-ahli parti bahawa UMNO adalah sebahagian daripada gerakan rakyat untuk melindungi orang Melayu dan sultan semasa negara penjajahan.

“Ia memiliki dasar nasionalisme dan bukan ditubuhkan oleh individu,” katanya.

Mengulas mengenai masa depan UMNO, Tengku Razaleigh menegaskas UMNO akan bertahan selagi mempunyai sokongan dan keyakinan masyarakat.

“Walaupun UMNO kalah pada PRU14, sokongan akar umbi masih ada.

“Ramai orang yang mendapat faedah daripada UMNO termasuk peningkatan taraf hidup rakyat melalui pendidikan, perumahan, pekerjaan dan menyediakan infrastruktur awam.

Ditanya mengenai ketidakstabilan politik, beliau bagaimanapun mempersoalkan sama ada perdana menteri masih mempunyai sokongan majoriti.

Katanya, sidang Parlimen diperlukan untuk menentukan sokongan ini.

“Sekiranya Muhyiddin mendapat sokongan, maka tidak ada siapa yang mahu mengambil tempatnya,” katanya sambil menjelaskan ia sebahagian dari Perlembagaan yang perlu dilindungi.

Dalam wawancara itu, Ku Li turut menimbulkan persoalan mengenai keyakinan pelabur terhadap negara dan kehilangan pekerjaan.

Kata, rakyat kini menderita.

“Kekosongan tunggal jawatan kerani menyaksikan lebih 400 pemohon. Ada pula yang makan dua hari sekali. Cuba tanya (orang ramai). Saya sudah bertanya,” katanya. – MalaysiaGazette