Logo UPM

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat pencapaian membanggakan dengan membuat lonjakan sebanyak 28 anak tangga apabila disenaraikan pada ranking ke-78 universiti terbaik berbanding ranking ke-106 tahun lepas dalam Times Higher Education (THE) Emerging Economies Rankings 2021.

Pencapaian ini sekali gus meletakkan UPM dalam kelompok 100 terbaik bersama dua universiti tempatan lain daripada 606 universiti antarabangsa yang tersenarai.

Penilaian ranking ini menggunakan lima kriteria utama yang di dalamnya mempunyai 13 indikator yang sama digunakan dalam penilaian THE World University Rankings.

Lima kriteria utama ini adalah Pengajaran (30%), Penyelidikan (30%), Petikan (20%), Tinjauan Antarabangsa (10%) dan Pendapatan Industri (10%).

Kekuatan UPM terletak pada kriteria Tinjauan Antarabangsa apabila disenaraikan pada tangga ke-23 terbaik antara universiti yang tersenarai dan ranking ke-2 Malaysia selepas Universiti Malaya.

THE Emerging Economies Rankings diperkenalkan sejak tahun 2014, mengambil kira dan menilai institusi pengajian tinggi di 48 negara yang ditakrifkan oleh London Stock Exchange’s FTSE Group sebagai negara membangun. – MalaysiaGazette