Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din menunjukkan laman web e-Pengambilan PDRM pada sidang media mengenai Pengambilan Khas Bukan Bumiputera dan Pengambilan Khas Orang Asli Polis Diraja Malaysia Tahun 2021 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Syarat wajib kredit subjek Bahasa Melayu (BM) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan lagi kekangan kepada anak muda bukan bumiputera untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Syarat itu dilonggarkan bagi mengalakkan golongan bukan Melayu memohon untuk jawatan konstabel polis sesi 2021, kata Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din.

Ia meloibatkan pengambilan lelaki dan wanita untuk sesi khas bukan bumiputera termasuk Orang Asli.

Katanya, sesi temuduga khas itu akan diadakan di bandar-bandar besar seluruh negara dan semua pemohon yang layak boleh hadir ke sesi temuduga.

Permohonan akan dibuka melalui laman web khas yang disediakan iaitu https:// epengambilanpdrm.rmp.gov.my untuk warga malaysia bukan bumiputra lelaki dan wanita bermula 18 mac sehingga 31 Mac ini selama dua minggu sahaja.

“Keutamaan diberikan kepada pemohon dalam kalangan masyarakat bukan bumiputera yang berkemahiran bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing iaitu bahasa Cina, Tamil dan lain-lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Ramli, PDRM telah memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam supaya melonggarkan syarat-syarat kelulusan kredit dalam BM peringkat SPM.

Menurutnya selama ini, kelulusan melayakkan seseorang pemohon bagi jawatan konstabel memerlukan dua kredit dan salah satunya adalah BM serta empat subjek lain lulus.

Namun katanya, dalam pengambilan khas bukan bumiputera kali ini hanya satu kredit sahaja dalam mana-mana mata pelajaran sudah memadai selain syarat kredit dalam BM yang dikekalkan selama ini kini sudah dilonggarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Kini lelaki dan wanita dalam kalangan masyarakat Cina dan India boleh memohon untuk menjadi konstabel dan kali ini tetapi dalam tempoh enam tahun berjaya dilantik, mereka dikehendaki mengambil kertas BM SPM dan wajib mendapatkan keputusan kredit.

“Sekiranya dalam tempoh perkhidmatan selama enam tahun itu mereka masih gagal maka tiada jalan lain perkhidmatan akan ditamatkan serta merta dari PDRM.

“Sebelum ini, kita memang mendapat sambutan besar untuk menyertai PDRM dalam kalangan bukan bumiputera cuma tidak mempunyai kredit dalam subjek BM menjadi kekangan kepada mereka.

“Sekarang mereka tidak lagi perlu risau mengenai kredit BM dalam SPM yang menghantui fikiran mereka selama ini tetapi syarat fizikal dan jasmani masih kekal terpakai tanpa kelonggaran,” ujarnya.

Bagaimanapun pihaknya tidak menetapkan sebarang sasaran pengambilan kerana ramai anggota konstabel diperlukan.

Mengikut statistik, sebanyak 80 peratus dalam PDRM adalah bumiputera manakala selebihnya adalah anggota India iaitu 2.9 peratus atau 3,422, orang dan Cina sebanyak 1.66 peratus atau 1,959 orang.

“Pengambilan secara rasmi dalam jawatan akan dlakukan bermula penghujung Jun hingga awal Julai 2021 dan mereka akan menerima gaji RM1, 441 selepas dilantik memulakan tugas secara rasminya tidak termasuk elaun dan faedah lain.

“Manakala bagi pengambilan khas Orang Asli kita juga menerusi JPA memberikan kelonggaran daripada segi ketinggian yang selama ini menjadi kekangan untuk mereka diserap dalam PDRM.

“Kalau dulu, ketinggian yang dilonggarkan untuk calon Orang Asli adalah 1.57 meter dan kini ia masih tak cukup dan menjadi kekangan untuk mereka maka dengan pertimbangan JPA syarat ketinggian diturunkan lagi kepada 1.55 meter untuk wanita Orang Asli,” tegasnya.- MalaysiaGazette