PETALING JAYA – Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor.

Beliau yang menggantikan SAC Datuk Fadzil Ahmat akan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Nik Ezanee berkata, beliau dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara itu pada hari ini.

“Cuma ketika ini saya masih menunggu arahan rasmi dari Pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed untuk melapor diri dalam tugas baharu selepas ini.

“Saya faham ini satu tugas yang sangat mencabar tapi saya yakin mampu menggalas amanat yang diberikan itu dengan penuh bertanggungjawab dan telus untuk terus menegakkan keadilan dan menjamin ketenteraman awam di negeri ini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Nik Ezanee dilantik memegang jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya pada 16 Februari 2020 bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din.

Sebelum itu, beliau adalah Asisten Komisioner Perhubungan Antarabangsa Urus Setia KPN (Pentadbiran) di Bukit Aman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Melaka. Beliau juga akan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Razali dilantik Ketua Polis Daerah Serdang pada 28 Oktober 2020. – MalaysiaGazette