Foto hiasan

OSLO – Tiga kakitangan kesihatan di Norway yang baru-baru ini menerima vaksin AstraZeneca dirawat di hospital kerana pendarahan, pembekuan darah dan jumlah platelet darah yang rendah, kata pihak berkuasa kesihatan.

Susulan itu, Norway menghentikan pemberian vaksin tersebut.

“Kami tidak tahu apakah kes-kes itu ada kaitan dengan vaksin,” kata Sigurd Hortemo, seorang doktor kanan di Badan Perubatan Norway pada sidang media yang diadakan bersama dengan Institut Kesihatan Awam Norway.

Pengawal selia perubatan Eropah (EMA) akan menyiasat tiga insiden itu, tambah Hortemo.

Sebelum ini beberapa negara termasuk Austria, Denmark, Itali dan Iceland telah menggantung penggunaan vaksin ini.

“Mereka mempunyai gejala yang sangat luar biasa: pendarahan, darah beku dan jumlah platelet darah yang rendah. Mereka agak sakit … Kami menganggap ini sangat serius,” kata Steinar Madsen, Pengarah Perubatan Badan Perubatan Norway.

Setakat ini AstraZeneca belum memberi komen.

Denmark, Norway, Iceland yang menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca juga disebabkan laporan kes pembekuan darah oleh penerima vaksin ini.

Austria pula menggantung vaksin AstraZeneca ketika menyiasat kematian akibat gangguan pembekuan dan penyakit akibat emboli paru-paru.

Namun, EMA memaklumkan manfaat vaksin melebihi risiko dan boleh terus diberikan.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.