Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Foto MOHD ADZLAN.

KUALA LUMPUR – Komponen Perikatan Nasional (PN), Pas  menyambut baik janji Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa gabungan itu menawarkan “tawaran baru” untuk seluruh rakyat Malaysia.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu melihat tawaran itu mampu memastikan kebajikan rakyat terjamin, mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan mengekalkan keharmonian antara kaum.

“Pas berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang, konsep adil untuk semua, kepimpinan berintegriti dan berakhlak budiman serta mengambil pendekatan politik yang menyatukan ummah.

“Justeru Pas menyeru semua pihak supaya mendukung pendekatan sederhana, prihatin rakyat dan berkebajikan yang dibawa oleh PN, menolak pendekatan ekstrem, oportunis dan melampau yang tidak sesuai dengan negara Malaysia bermasyarakat majmuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian merujuk kepada kenyataan Muhyiddin bahawa PN adalah tawaran baharu kepada rakyat Malaysia dan akan terus kekal untuk tempoh yang panjang.

Pengerusi PN itu berkata, gabungan itu mahu kekal sebagai sebuah pakatan politik yang berkongsi aspirasi negara untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, kerajaan PN berperanan penting dalam mewujudkan politik stabil, mengekalkan keharmonian kaum, menjunjung tadbir urus baik dan menegak kedaulatan undang-undang.

“Kita mahu memimpin Malaysia dengan lebih cekap, berkesan dan kompeten. Kita ingin terus merasai denyut nadi rakyat dan memenuhi keperluan mereka dengan penuh prihatin.

“Kita mempunyai aspirasi yang tinggi untuk terus memelihara perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

“Kita komited untuk mentadbir negara ini dengan berintegriti dan berwibawa demi memelihara kesejahteraan serta kebajikan rakyat seluruhnya,” katanya.

Malah Muhyiddin berkata, sokongan rakyat kepada PN akan lebih terserlah dan kukuh apabila terbukti berjaya melaksanakan segala janji serta komitmen untuk rakyat dan sebahagiannya sudah terserlah melalui pentadbiran yang amanah dan berintegriti sejak setahun lalu. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. haaa…tak de apa yg baharunya…semuanya veteran…penuh dgn katak, perogol, penghasut, pensemburit dan mcm2 manusia yg disucikan oleh PAS..

  2. Dasar apartheid sekian lama DEB 30% untuk majoriti pribumi Melayu supaya bukan pribumi termasuk bekas pejuang PKM sekian lama dibiayai Tanah Besar China tanpa repatriasi mahupun deportasi disanjung hormat sebagai warganegara tempatan meraih 70% ekonomi lagi teruk dalam masyarakat majmuk, kan?

Comments are closed.