Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe menunjukkan mesin melombong bitcoin yang dirampas selepas sidang media mengenai tiga kes yang berbeza di bu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2021.

GOMBAK – Polis berjaya menahan enam lelaki warga tempatan disyaki terlibat dalam sindiket melombong  bitcoin secara haram dari 9 Mac lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua suspek ditahan dalam serbuan di tiga buah premis di Bandar Country Homes dan Rawang oleh Bahagian Siastan Jenayah Gombak.

“Hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga premis mendapati sebanyak 131 buah mesin melombong bitcoin sedang aktif beroperasi berjaya dirampas dan mendapati kesemua premis berkenaan telah membuat penyambungan elektrik secara haram.” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe. Foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2021.

Arifai berkata, siasatan mendapati aktiviti itu telah beroperasi sejak enam bulan lalu dan sindiket berkenaan menyewa premis terlibat pada kadar RM1,000 sebulan.

“Semua mesin yang beroperasi itu boleh menjana keuntungan hingga mencecah RM11,000 sebulan kepada sindiket berkenaan. Difahamkan suspek yang ditahan merupakan penjaga serta juruteknik yang dibayar upah antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan,” katanya lagi.

Menurut Arifai, dalam serbuan pertama pada 9 Mac, polis telah  menahan dua lelaki tempatan berusia antara 22 tahun hingga 35 tahun dan mempunyai satu kes rekod jenayah.

Menerusi serbuan itu, sebanyak 46 unit mesin melombong bitcoin, satu komputer riba, satu modem dan serangkai kunci telah dirampas.

Manakala dalam serbuah kedua pada 12 Mac lalu, seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan dan pihaknya merampas sebanyak 35 unit melombong bitcoin, satu set komputer, satu modem Tplink dan sebuah telefon bimbit jenama Black Shark 2 Pro.

Serbuan ketiga pada 14 Mac lalu, polis menahan tiga lelaki warga berumur 40 hingga 58 tahun.

Sebanyak 50 unit mesin melombong bitcoin, satu set komputer, satu modem D-link dan empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, serangkai kunci, sebuah kereta pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Triton, sebuah kreta jenis Proton Saga dan wang tunai RM3,230 dirampas,” katanya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe menunjukkan kereta dirampas melalui kes dadah selepas sidang media di bu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor.

Kesemua suspek direman selama empat hari untuk tindakan lanjut dan dibawah ke Mahkamah Majistret Selayang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan kerana curi dan perbuatan khianat serta Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 atas kesalahan mencuri elektrik. – MalaysiaGazette