Mak Kah Keong. foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk mengenakan kompaun maksimum RM10,000 terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) dianggap drastik dan membebankan.

Malah ia juga tidak akan membantu rakyat ketika pandemik Covid-19 masih menular dan menjejaskan kehidupan masyarakat.

Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong berkata, ketika ini ramai sedang bergelut untuk memenuhi keperluan hidup akibat kemelesetan ekonomi selain ada yang tidak bekerja.

Katanya, rata-rata mereka seolah-olah tidak lagi kisah tentang apa yang berlaku sekeliling, sebaliknya memberi keutamaan mencari rezeki.

“Semestinya bahang pandemik Covid-19 masih lagi terasa, dari kehidupan seharian sudah kini bertukar 360 darjah dengan norma baharu. Tidak cukup dengan itu, rata-rata terpaksa berdepan dengan pelbagai isu yang sukar difahami dengan mata kasar sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Kah Keong, tindakan menaikkan kompaun daripada RM1,000 kepada RM10,000 telah menimbulkan kemarahan masyarakat.

Orang ramai yang didapati melanggar PKP akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 manakala syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000 berkuatkuasa 11 Mac lepas.

Undang-undang itu diwartakan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Sebelum ini, di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Kah Keong berharap kerajaan dapat membantu rakyat terlebih dahulu sebelum mengenakan hukuman seumpama itu walaupun  ia bertujuan mendidik serta mengekang Covid-19. – MalaysiaGazette

Pertimbangkan semula kompaun RM10,000 – Murugiah

Kerajaan akan perincikan kesalahan kompaun RM10,000 – Takiyuddin