Jen Psaki. foto CNBC
WASHINGTON – Korea Utara telah menolak permintaan daripada Amerika Syarikat (AS) untuk berdialog, kata White House.
AS telah memulakan hubungan dengan Korea Utara ketika pentadbiran Donald Trump dan kini mahu diteruskan oleh Presiden Joe Biden.
Pyongyang didakwa kecewa dengan diplomasi Trump walaupun pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un telah mengadakan tiga pertemuan dalam sidang kemuncak serta beberapa siri pertukaran surat.
Trump telah menolak permintaan Korea Utara untuk melonggarkan sekatan terhadap Pyongyang kecuali Kim mengambil langkah untuk menghentikanprogram nuklearnya – satu perkara yang enggan dilakukan.
Jurucakap White House, Jen Psaki memberitahu wartawan bahawa pegawai AS telah menghubungi Korea Utara melalui beberapa saluran sejak memegang jawatan hampir dua bulan lalu.
“Tujuan kami untuk mengurangkan risiko ketegangan. Tetapi hingga kini kami belum mendapat sambutan,” katanya.
Namun beliau tidak menjelaskan apa yang dibimbangkan oleh AS.
Korea Utara melakukan enam ujian nuklear antara tahun 2006 dan 2017.
Psaki mengatakan pihak pentadbiran telah berunding dengan mantan pegawai pemerintah AS yang telah terlibat dalam dasar Korea Utara semasai pentadbiran masa lalu sambil meminta input dari sekutu Jepun dan Korea Selatan.
“Ini susulan tiada dialog aktif selama setahun dengan Korea Utara walaupun terdapat banyak percubaan AS untuk terlibat … Anda semua dapat menjangkakan ada pengembangan hubungan berterusan dengan rakan dan sekutu di rantau ini,” katanya.
Seorang pegawai kanan pentadbiran Biden memberitahu Reuters pada hari Sabtu lalu bahawa ada usaha untuk menghubungi pemerintah Korea Utara melalui beberapa saluran sejak pertengahan Februari lepas.
Pentagon menyatakan kebimbangan awal bulan ini mengenai laporan ertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menunjukkan kemungkinan berlaku pemprosesan semula bahan bakar nuklear untuk bom oleh Korea Utara. – MalaysiaGazette