Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bimbang pengumuman Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No. 2) 2021 [PU (A) 110] yang digunapakai oleh kerajaan dalam tempoh darurat untuk mengekang berita tidak benar.
Tindakan itu juga akan dikenakan terhadap individu yang mengadakan, menerbit dan menyebarkan berita tidak benar mengenai Covid-19 atau proklamasi darurat.
Walaupun Suhakam ambil maklum kenyataan lanjut kerajaan  ia akan membezakan antara kritikan kepada kerajaan dan penyebaran berita palsu sebelum mengambil tindakan tetapi pengenaan denda yang tinggi akan menyekat kebebasan memberikan pandangan, bersuara dan bercakap.
Ia termaktub di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan prinsip serta piawaian hak asasi manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Di bawah ordinan itu, mereka yang melanggarnya akan dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Suhakam berharap agar ordinan ini bukan cubaan untuk mengembalikan Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018 yang telah dimansuhkan pada Disember 2019.
”Sekatan terhadap kebebasan bersuara hanya boleh dikenakan apabila perlu dan tertakluk kepada undang-undang dan
bersekadar bagi memenuhi tujuan yang munasabah, termasuk untuk melindungi keselamatan negara, ketenteraman awam, kesihatan awam atau moral, atau hak individu lain,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Demi kepentingan untuk menangani maklumat yang tidak tepat atau salah mengenai vaksin Covid-19, Suhakam menyeru kerajaan untuk meningkatkan lagi maklumat serta kempen kesedaran.
Kerajaan juga perlu meneliti semula keputusan untuk menguatkuasakan ordinan berkenaan dan menggunapakai undang-undang sedia ada yang telah melalui proses perundangan di Parlimen bagi menangani pelbagai bentuk ucapan kebencian dan berita tidak benar.
Suhakam turut menggesa kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen dengan kadar segera seperti yang termaktub di bawah Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan agar undang-undang boleh dibahaskan sebelum ia diluluskan. Ini merupakan mekanisma semak imbang bagi memastikan undang-undang yang diluluskan tidak melanggar hak asasi semua. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.