Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengumumkan penubuhan beberapa pasukan khas.

Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Abd Aziz berkata, pasukan khas itu berperanan sebagai badan semak dan imbang kepada perkhidmatan disediakan kerajaan.

Katanya, keputusan untuk menubuhkan pasukan khas yang dianggotai pakar, ahli akademik dan tokoh masyarakat berkenaan dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN, pada 3 Mac lalu.

“Pasukan khas itu dibahagikan kepada lima portfolio, iaitu pendidikan, ekonomi, demokrasi dan perundangan, perpaduan nasional serta undi automatik 18 tahun.

“Ahli Parlimen Padang Terap dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid akan mengetuai pasukan khas mengenai pendidikan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (ekonomi),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Turut disenarai dalam portfolio itu Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang akan mempengerusikan pasukan khas mengenai demokrasi dan perundangan; Mosinal @ Richard Kastum daripada PBRS (perpaduan nasional) dan bekas ketua Pemuda MIC, Sivarraajh Chandran (undi automatik 18 tahun). – MalaysiaGazette