Luqman Hakim.

KUALA LUMPUR – Penyerang muda negara, Luqman Hakim mahu menimba pengalaman sebanyak yang mungkin bersama skuad senior kebangsaan selepas dipanggil menyertai kem latihan pusat selama sembilan hari di Johor Bahru, Johor bermula Isnin, depan hingga 30 Mac ini.

Luqman merupakan salah satu dari tiga pemain muda yang dipanggil oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe bagi kem latihan pusat kali ini dan dia berazam memberikan yang terbaik selama sembilan hari latihan.

“Saya akan buat yang terbaik dan memberikan 100 peratus. Saya mahu menimba pengalaman baharu untuk diri saya. Penting untuk saya kerana jika mahu melangkah ke peringkat seterusnya, kita perlu mengambil pengalaman dengan pemain lain,” katanya dalam satu temu bual bersama Astro Arena.

Luqman menambah barisan kejurulatihan KV Kortrijk gembira apabila beliau mendapat panggilan untuk berlatih bersama pasukan kebangsaan selain memberikan sokongan penuh kepada pemain berusia 19 tahun itu.

Selain Luqman, dua lagi pemain muda yang dipanggil ialah pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Ramadhan Saifullah dan penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim. – MalaysiaGazette