Orang ramai diminta beratur mengikut jarak sosial sebelum masuk ke Pasar Jalan Raja Boat semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan masuk hari ke- 10 bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Jalan Raja Boat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 MAC 2020
HARI ini genap setahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang
diumumkan buat pertama kali berkuat kuasa 18 Mac 2020. Jika diimbas semula
perasaan seluruh rakyat Malaysia pada ketika itu, jelas rata-rata terkejut, terpinga-
pinga dan panik kerana tidak menjangka serangan pandemik COVID-19 akan
memaksa kita terperap di rumah untuk suatu tempoh masa yang cukup panjang.
Terlalu banyak pengalaman yang kita harungi buat pertama kali melalui pelaksanaan
PKP ini yang sebenarnya berlarutan sehingga kini. Hakikatnya walaupun sudah
setahun namun kita masih dalam fasa PKP sama ada, PKP Pemulihan (PKPP), PKP
Bersyarat (PKPB) mahupun ada lagi kawasan yang dikenakan PKP Diperketatkan
(PKPD). Hal ini kerana negara belum keluar sepenuhnya dari ancaman wabak yang
menggoncang seluruh dunia. Cuma kita berasa lega sedikit apabila Program
Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sudah bermula dan diharapkan mampu
meningkatkan tahap imunisasi rakyat sekali gus mencegah dan mengurangkan
penularan wabak dalam komuniti.
Banyak yang boleh diperkatakan dengan apa yang telah berlaku sepanjang setahun
pelaksanaan PKP. Ironinya, krisis kesihatan yang kronik ini turut mencetuskan krisis
ekonomi dan sosial yang sangat serius. Misalnya, penutupan operasi hampir semua
sektor ekonomi ketika PKP menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara dan rakyat
terjejas teruk. Ramai yang hilang pendapatan secara total apabila diberhentikan
kerja sehingga kadar pengangguran naik secara drastik. Para peniaga juga hilang
pendapatan sehingga ramai yang terpaksa gulung tikar dan menutup operasi.
Rakyat yang hilang pendapatan pula semakin terdesak dan terhimpit dengan
masalah keterhutangan yang serius serta peningkatan kos sara hidup yang tinggi.
Akibatnya juga pelbagai masalah sosial mula muncul, seperti peningkatan kadar
perceraian serta kes keganasan rumah tangga. Malah kes kemurungan dan cubaan
bunuh diri juga membimbangkan.
Hakikatnya PKP dan pandemik telah mengubah cara hidup kita secara total.
Misalnya, kita mula melazimi pelbagai prosedur operasi standard (SOP) atas nama
norma baharu seperti pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan
serta penjarakan fizikal. Ringkasnya, aspek kebersihan dan kesihatan diri mula diberi
perhatian yang lebih serius.
Pelaksanaan PKP juga mencetuskan budaya kerja yang baharu, iaitu bekerja dari
rumah (BDR). Sektor awam dan swasta mula melaksanakan dasar BDR demi
kelangsungan operasi masing-masing terutamanya sektor awam yang perlu terus
memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Dalam konteks ini elemen pendigitalan
perkhidmatan mula diteroka secara lebih serius dan mula menjadi satu norma baharu
dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien dan pantas kepada pelanggan.
Para peniaga terutamanya perusahaan kecil dan sederhana yang tidak dapat
membuka operasi sepanjang PKP juga mula bertindak dengan lebih kreatif apabila
meneroka platform e-dagang untuk memperluaskan perniagaan masing-masing.
Pada dasarnya, PKP telah membolehkan aktiviti perniagaan seperti pembelian dan
penjualan barangan secara dalam talian mula menjadi trend yang berkembang
dengan begitu pesat sekali.
Penutupan sekolah pula menyebabkan para guru mula membudayakan pelaksanaan
sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), iaitu berpaksikan secara dalam
talian. Para guru dilihat cukup komited dan kreatif dalam melaksanakan sesi ini
secara dalam talian. Namun tahap keberkesanan sesi pembelajaran dalam talian
menjadi perdebatan hangat kerana ianya tidak sama dengan sesi pembelajaran
secara bersemuka, malah lebih mengeruhkan lagi keadaan apabila ada murid yang
bergelut dengan masalah kesukaran untuk akses kepada kemudahan internet serta
ketidakmampuan untuk memiliki peranti atau gajet yang bersesuaian.
Sepanjang PKP pada tahun lepas juga, pelbagai perayaan tidak dapat disambut
seperti biasa. Misalnya, umat Islam tidak dapat menunaikan solat tarawikh secara
berjemaah di masjid dan surau, malah larangan merentas negeri pula menyebabkan
semua perantau tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut hari raya
bersama keluarga seperti biasa.
Tuntasnya, PKP yang dilaksanakan mulai 18 Mac 2020 sudah mengubah cara hidup
kita secara sepenuhnya. Banyak yang telah kita tempuhi sepanjang setahun yang
lalu yang boleh dijadikan pengajaran dan iktibar dalam kita meneruskan
kelangsungan hidup masing-masing. Apapun peperangan memerangi wabak belum
berakhir, malah kita masih di bawah pelakasanaan PKP. Ringkasnya, perubahan dan
amalan norma baharu yang baik dan positif wajar diteruskan, sebaliknya yang tidak
sesuai dan boleh memberikan impak yang negatif wajar ditinggalkan dengan segera.
Selamat ulang tahun PKP, semoga kita dapat menamatkan segala fasa PKP dengan
segera dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa