Yang Dipertua Dewan Negara ke-18, Tan Sri Rais Yatim pada Majlis Perasmian Pameran Catan Ohsem 2021 anjuran Art Market Malaysia di Four Season Place, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 18 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – “Antara 21 hingga 18 tahun, hanya beza tiga tahun, apa salahnya kita tunggu sekejap sehingga mereka matang,” kata Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Yang di-Pertua Dewan Negara itu berkata, ada dalam kalangan ibu bapa yang mengeluh mengenai had umur mengundi pada usia 18 tahun iaitu sama ada tindakan tersebut logik dalam konteks perjuangan di negara ini.

“Oleh kerana negara lain sudah laksana, kita pun harus membuatnya dengan mengatakan orang yang 18 tahun ayuh bersama kita mengundi.

“Soalnya adakah ini budaya kita? Ibu bapa sudah bersedia? Anak baru keluar tingkatan lima sudah mahu mengundi.

“Ini tidak mungkin, jadi kalau tidak mungkin kenapa tidak diterjemahkan implimentasinya oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pameran seni Catan Ohsem 2021 anjuran Art Market Malaysia di Four Season Place, Jalan Ampang hari ini.

Tambah Rais, beliau tidak mengelirukan sesiapa dengan kenyataan Undi 18 itu dan meminta semua pihak supaya tidak salah faham.

“Kita menerima dengan apa yang telah diajukan sebagai pindaan Perlembagaan kepada peruntukan menurunkan umur 21 kepada 18 tahun.

“Malangnya dua tahun sudah berlalu dan tidak dapat dibuktikan bahawa pindaan itu telah diterima pakai oleh SPR.

“Dan yang kedua, pindaan ini adalah pindaan yang saya dapati sebagai menonjolkan sesuatu hasrat begitu cepat,” ujarnya.

Menurut Rais, setelah Rang Undang-Undang (RUU) dipinda, ia harus ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Tuanku Agong setakat ini setahu kami belum lagi menandatangani undang-undang ini.

“Jadi ia merupakan satu keadaan di mana satu huraian baru harus diperlihatkan dan jika tidak, bukan sahaja menyusahkan SPR tetapi mengelirukan ibu bapa dan mereka yang tergolong kepada warga 18, 19 dan 20 tahun.

“Ini kerana ada perkara yang tampak dipandang tetapi tidak realistik,” ujarnya.

Pada 10 Mac lalu, Rais berkata, kelayakan mengundi pada Pilihan Raya Umum pada usia 18 tahun tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Jelas beliau, ini kerana, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

Sementara Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merujuk kenyataan Rais menyatakan Malaysia yang tidak bersedia untuk memberi kelayakan mengundi kepada rakyat berusia 18 tahun merupakan satu penipuan dan mencabul Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast