KUALA LUMPUR – Kakak Neelofa, Noor Nabila, 36, melangsungkan pernikahan dengan pilihan hatinya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 46, pukul 10.02 pagi tadi di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, sekali gus melenyap spekulasi hubungan mereka sebelum ini.

Dengan sekali lafaz, pasangan ini dinikahkan berwalikan adik Nabila sendiri iaitu Mohamed Aqief Mohd Noor sebagai wakil.

Noor Nabila menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin.

Bagaimanapun tiada dulang hantaran diberi dan dibalas pasangan pengantin berkenaan.

Jumlah wang hantaran juga tidak dimaklumkan.

Dekorasi dan pelamin direka cantik Rekateemor.

“Alhamdulillah semuanya berjalan serba ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Hanya dihadiri ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat sekitar 20 ke 30 orang tetamu saja. Kita buat yang wajib saja selain bersederhana. Apa yang penting kami mahukan keberkatan. Kami pun tak merancang nak buat majlis lain selepas ini,” kata Nabila selepas majlis selesai.

Nabila turut menafikan desas desus yang mereka mengikat tali pertunangan seperti digembar gemburkan sebelum ini.

“Memang kami tak bertunang seperti yang disangka. Saya mula mengenalinya sekitar Ogos tahun lalu. Waktu itu kami hanya berkawan.

“Hanya sekitar hujung tahun lalu, kami mula rapat. Malah sama sama berkongsi minat sama termasuk dalam sukan berbasikal,” katanya.

Mengenai suami, Nabila menyifatkan hubungan antara mereka mekar tanpa diduga.

“Kami pernah melalui pengalaman berumah tangga sebelum ini. Jadi masing-masing sudah matang dan dah tahu apa yang diinginkan dalam pasangan hidup.

“InsyaAllah kami akan buat yang terbaik dan sentiasa ada untuk satu sama lain,” katanya.

SEbelum ini pasangan berkenaan mencetuskan tanda tanya apabila gosip mengaitkan mereka kononnya menjalinkan hubungan cinta.

Pasangan berkenaan juga masing-masing berkongsi gambar aktiviti berbasikal bersama teman lain melalui paparan foto dalam laman sosial.

Lebih disensasikan apabila foto Engku Emran yang dikatakan menyertai majlis usrah bersama Ustaz Wadi di kediaman Nabila, tular baru baru ini.

Nabila bercerai dengan pelakon Sharnaaz Ahmad pada Julai tahun lalu selepas hampir setahun berdepan kemelut rumah tangga.

Mereka dikurniakan anak lelaki diberi nama Jebat Jayden.

Engku Emran juga berpisah dengan Laudya Cynthia Bella pada Julai tahun lalu, selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

Terdahulu, Engku Emran berkahwin dengan aktres, Erra Fazira dan dikurniakan cahaya mata, Engku Aleesya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast