Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR – Seramai 200 peguam menandatangani petisyen bagi mendesak pindaan Perlembagaan Persekutuan susulan kes Iki Putra Mubarak.

Mereka termasuk peguambela, peguam cara dan peguam syarie.

Dalam satu kenyataan bersama, peguam-peguam berkenaan memaklumkan, petisyen yang ditangani bertujuan menyatakan kebimbangan terhadap implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes lelaki terbabit melawan kerajaan Selangor terhadap bidang kuasa negeri menggubal undang-undang jenayah Islam.

Katanya, dalam kes Iki Putra itu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berbeza daripada penghakiman pernah dikeluarkan sebelum ini, sekaligus mengehadkan bidang kuasa negeri menggubal jenayah syariah.

“Dengan keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan ini, kami bimbang semakin banyak peruntukan enakmen jenayah syariah negeri-negeri yang sedia ada bakal dicabar dan dibatalkan atas alasan sama.

“Akhirnya ia boleh melumpuhkan sistem jenayah Islam di seluruh negeri-negeri yang ada,” demikian menurut kenyataan bersama itu.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan oleh Pengerusi Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (MACSA), Lukman Sheriff Alias; Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang mewakili kumpulan peguam berkenaan.

Pada 21 Ogos 2019, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi.

Bagaimanapun, disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, Iki Putra mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Selepas 18 bulan kes berlangsung, Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu memutuskan bahawa perlakuan liwat adalah kesalahan yang melanggar perintah agama Islam, namun kuasa Dewan Undangan Negeri untuk membuat undang-undang mengenai perkara itu dihadkan kepada butiran tertentu.

Dalam kenyataan bersama kumpulan peguam itu juga, mereka memaklumkan, kes Iki Putra jelas menunjukkan bahawa walaupun negeri mempunyai bidang kuasa luas untuk menggubal kesalahan undang-undang mengikut ‘perintah ajaran agama Islam’, tetapi undang-undang ini tidak boleh menyentuh mana-mana perkara ‘Senarai Persekutuan’ termasuklah ‘Undang-undang Jenayah’. – MalaysiaGazette