Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung insiden kekecohan yang tercetus pada Konvensyen DAP Negeri Perak ke-19 pada Ahad lalu.

Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya yang menerima laporan berhubung insiden itu telah memanggil penganjur konvensyen tersebut untuk mendapatkan maklumat lengkap.

“Polis juga mendapati kehadiran para perwakilan seramai 1,731 orang di dalam dewan tersebut dan ianya kurang daripada kapasiti maksimum yang boleh ditampung dalam ICC iaitu 4,500 orang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kertas siasatan tersebut dibuka di bawah Seksyen 22A Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) Pindaan 2021.

Menurut Faridalathrash, PDRM juga sedang menganalisa video dan foto-foto yang diperolehi bagi mengenalpasti individu-individu serta kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan perlanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), terutama semasa insiden kekecohan dan konvensyen berlangsung.

Tambah beliau, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“Orang ramai diseru supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan yang tidak bertanggungjawab kerana dikhuatiri akan mengganggu proses siasatan polis,” ujar beliau.-MalaysiaGazette