KUALA LUMPUR – Pemain tengah kelahiran Filipina, Adam Michael Reed meninggalkan UiTM FC apabila dia disahkan telah menandatangani kontrak dengan kelab dari negaranya, United City FC.
Adam, 29, hanya sempat beraksi dalam dua perlawanan Liga Super menentang Terengganu dan Penang.
Difahamkan penamatan kontraknya pada musim ini adalah atas persetujuan bersama dengan pihak UiTM yang kini hanya memiliki empat pemain import.
Kehadiran Adam dalam pasukan United City adalah untuk membantu pasukan itu memperkuatkan jentera tengah bagi menghadapi saingan AFC Champions League pada musim ini.
Kelab itu berada dalam kumpulan I bersama kelab Jepun, Kawasaki Frontale, dan kelab China, Beijing Guon manakala satu lagi kelab akan ditentukan kemudian sama ada Daegu FC atau Chiangrai United.
Selain Adam, kelab tersebut turut menandatangani bekas pemain Penang dan PJ City, Mark Hartmann dan bekas pemain import Kedah, Amin Nazari.
Mereka turut agresif menghimpun beberapa bintang Filipina yang beraksi di luar negara.
Sebelum pulang ke negaranya, pemain itu sempat menjadi kecaman warga maya kerana dia dilihat sengaja menghulurkan ‘penerajang’ sehingga menyebabkan pertahanan Pulau Pinang itu jatuh dan dia sepatutnya menerima kad merah. – MalaysiaGazette