Trend anak muda sekarang menjaja di lampu isyarat. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, mengeluarkan 22 saman terhadap penjaja makanan di lampu isyarat dalam tempoh tiga hari.

Ketua JSPT Negeri, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, penjaja yang disaman itu adalah dalam kalangan usia 20-an kerana kesalahan berniaga hingga mengganggu lalu lintas.

Saman itu dikeluarkan dalam operasi khas dijalankan pada 15 Mac sehingga 17 Mac lalu di Jalan Hamzah, Jalan Kuala Krai dan Lembah Sireh.

“Mereka yang disaman ini diberi tempoh sebulan untuk hadir perbicaraan di mahkamah.

“Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM2,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Zamri berkata, saman dikeluarkan mengikut Akta Lalu Lintas Jalan Raya dan tindakan boleh dikenakan di bawah 10A (1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya.

Katanya, penjual dan pembeli dinasihatkan supaya tidak berniaga serta membeli di jalan raya, termasuk di lampu isyarat kerana boleh mengundang bahaya.

“Setakat ini, hanya penjual disaman dan belum ada saman dikenakan kepada pembeli.

“Patuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak kecelakaan atau dikenakan tindakan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette