Sebuah kereta remuk teruk selepas sebuah kren jatuh di tapak pembinaan Projek Package CA3 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) di Persiaran Alam Damai, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Bandar Tun Razak menggesa pemaju projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menghentikan kerja-kerja pembinaan di sektor terlibat tragedi yang meragut nyawa sehingga dipastikan keselamatan terjamin sepenuhnya.

Ketua Pemudanya, Ashrul Ashryzad Mohd Nashri berkata, kekerapan tragedi meragut nyawa yang sering berlaku membabitkan kerja-kerja pembinaan projek SUKE menimbulkan persoalan.

”Saya amat bimbang dengan kekerapan tragedi yang berlaku di laluan itu yang telah meragut beberapa nyawa. Adakah semua kejadian itu disebabkan oleh masalah teknikal atau kelalaian pihak kontraktor pemaju?,” soalnya.

Ashrul berkata, beliau telah membuat laporan polis berhubung insiden itu di Balai Polis Salak Selatan malam tadi.

Tambah beliau, sebagai pemaju sebuah projek pembinaan yang besar dan penting, aspek keselamatan tidak seharusnya dikompromi dalam apa juga keadaan.

Lebih-lebih lagi, ia membabitkan kerja-kerja pembinaan di bahagian atas jalan raya yang menjadi laluan utama pengguna kenderaan.

“Sepatutnya pemaju mengambil langkah-langkah keselamatan dengan menutup atau melencongkan laluan buat sementara waktu ketika kerja-kerja kritikal atau berbahaya sedang dibuat supaya tidak mengancam nyawa pengguna jalan raya di bawah,” tambahnya.

Menurut beliau, Pemuda UMNO Bandar Tun Razak turut mencadangkan supaya diwujudkan satu badan khas bagi menjalankan siasatan terperinci setelah dua kali kejadian seumpamanya menimpa pengguna jalan raya.

Sebagai pengguna harian jalan raya itu, sudah tentu perasaan bimbang membelenggu saban hari kerana jalan berisiko ini merupakan laluan ulang-alik ke tempat kerja, sekolah dan urusan harian, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast