UTeM anjurkan program mobiliti antarabangsa secara atas talian melibatkan mahasiswa dari 7 buah universiti di peringkat global bagi menjayakan perkongsian inovasi dan holistik.

KUALA LUMPUR – Selari dengan perkembangan senario semasa, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan program mobiliti pelajar antarabangsa secara atas talian.

Program berimpak global yang diselaraskan oleh Tokushima University-UTeM Academic Centre (TMAC) diadakan selama 9 hari dengan melibatkan 7 buah universiti antarabangsa baru-baru ini.

Antaranya, UTeM, Universiti Tokushima, Universiti Brawijaya, Universiti Negeri Malang, Universiti Merdeka Malang, Universiti Stikes Kendal serta Universiti Islam Batik Surakarta.

Menurut Pengarah Program, Prof. Dr Mohd Rizal Salleh, objektif program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar UTeM berinteraksi di samping perkongsian inovasi bersama mahasiswa universiti antarabangsa.

Jelasnya, program ini menjadi platform bagi mereka dari negara yang berbeza untuk menjalinkan hubungan kerjasama rapat serta meningkatkan kemahiran holistik mereka sepanjang pengajian di universiti masing-masing.

“Peluang ini juga mendedahkan mereka kepada konteks silang budaya dunia yang unik dengan kepelbagaian budaya-budaya murni serta amalan-amalan terbaik masyarakat pelbagai negara,” ujarnya.

Program mobiliti antarabangsa secara atas talian ini mempunyai temanya tersendiri iaitu ‘Pertanian: Bagaimana melestarikannya dengan Industri Revolusi 4.0?’

Sepanjang program ini berlangsung seramai 24 orang peserta yang mengikuti program ini turut berpeluang mengikuti pembentangan penyelidikan unggul yang dijalankan oleh Prof. Yasuno Takeshi dari Universiti Tokushima. -MalaysiaGazette.