Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai Foto FIKRI YAZID 2 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Curi kenderaan motosikal, lori dan kereta sebelum meleraikan komponen kemudian menjual dalam Facebook (FB) sebagai alat ganti.

Itu kegiatan satu sindiket yang giat aktif sekitar Lembah Klang akhirnya ditumpaskan dengan tertangkapnya seramai 13 orang suspek.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua suspek ditahan dalam beberapa serbuan berasingan menerusi Operasi Lejang di sekitar daerah berkenaan pada 16 hingga 21 Mac lalu.

Dalam serbuan itu, pihaknya menahan mereka yang berusia 15 hingga 55 tahun.

“Semua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah berkaitan curi kenderaan serta dadah. Malah, ada di antara mereka tersenarai sebagai individu dikehendaki bagi kes dadah.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas suspek-suspek polis merampas lapan motosikal, tiga kereta, sebuah van serta 10 peket dadah dipercayai syabu dan heroin dianggarkan seberat sembilan gram,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pagi ini.

Tambah Eng Lai berkata, siasatan lanjut dilakukan mendapati antara modus operandi sindiket berkenaan adalah mencuri kenderaan di kawasan perumahan serta flat.

“Selain itu, sindiket ini juga menyasarkan kenderaan penduduk densiti tinggi di perumahan PPR awam yan mempunyai masalah kekurangan tempat letak kereta yang mana kereta yang diparkir di tepi-tepi jalan.

“Malah kenderaan yang disasarkan adalah jenis lama yang komponennya sukar diperoleh dan mempunyai permintaan tinggi di pasaran kini serta motosikal hangat jenis Honda dan Yamaha.

“Sindiket terbabit juga dipercayai menjual komponen kenderaan kepada rakan mereka atau individu lain menerusi media sosial seperti FB.

“Dengan penahanan 13 suspek berkenaan, kami percaya berjaya menyelesaikan 12 kes curi kenderaan yang dilaporkan di daerah ini khususnya Kepong dan Jinjang selain beberapa kawasan lain di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Dalam kes berasingan, Eng Lai berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan curi kereta dan lori dalam serbuan di sebuah bengkel di Bandar Baru Sentul, semalam.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan di dalam sebuah bengkel milik suspek polis berjaya merampas sebuah kereta dan sebuah lori yang dilaporkan hilang di Sentul dan Kepong pada awal tahun ini.

“Semakan mendapati suspek berkenaan mempunyai 10 rekod jenayah berkaitan kes curi kenderaan dan siasatan awal mendapati modus operandi suspek adalah mencuri lori serta kereta lama yang diparkir di kawasan tidak mempunyai kamera litar tertutup.

“Suspek akan ambil komponen kenderaan curi itu untuk digunakan membaiki lori atau kereta sama model dan tertangkapnya suspek ini kami yakin berjaya menyelesaikan dua kes curi kenderaan di Kepong dan Sentul dengan penahanan suspek berkenaan,” ujarnya.

Kedua-dua kes kejayaan itu sedang disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.-MalaysiaGazette