Kapten skuad kebangsaan Vietnam, Do Hung Dung.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) telah menjatuhkan hukuman berat ke atas pemain Ho Chi Minh City, Hoang Trinh yang membuat terjahan keras ke atas kapten skuad kebangsaan Vietnam, Do Hung Dung sehingga patah.

Media negara itu melaporkan, pemain tersebut digantung dari sebarang perlawanan bola sepak sepanjang tahun 2021 selain didenda sebanyak VND40 juta (RM7,154.96) dan perlu menanggung kos rawatan Hung Dung yang tidak melebihi daripada 15 bulan gaji.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Vu Xuan, Ketua Jawatankuasa Disiplin VFF yang menyifatkan tindakan Trinh itu sebagai tidak bertanggungjawab dan merbahaya sehingga menyebabkan kecederaan serius.

Dalam aksi V-League 1 yang mempertemukan dua seteru dari utara dan selatan negara komunis itu semalam, Hung Dung yang beraksi untuk Hanoi FC diasak oleh pemain Ho Chi Minh City, Hoang Trinh.

Dalam video ulang tayang gerak perlahan jelas menunjukkan bagaimana kaki Hung Dung terkepak dipijak oleh lawannya dan terus terbaring menahan kesakitan sebelum pasukan perubatan masuk ke dalam padang untuk membantunya.

Selepas 10 minit, emain berusia 27 tahun itu kemudiannya diusung keluar dan terus dibawa ke hospital berdekatan menggunakan ambulan.

Meskipun Thinh dilihat beberapa kali meminta maaf dan seakan-akan menyesali perbuatannya, pengadil perlawanan tidak teragak-agak untuk melayangkan kad merah kepada pemain tersebut.

Dengan kecederaan tersebut, Hung Dung bakal terlepas baki tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kumpulan F bertemu Indonesia, Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast