Gambar Hiasan

KOTA KINABALU – Selepas Gerakan, Perikatan Nasional (PN) dilaporkan mungkin menerima satu lagi bekas parti komponen Barisan Nasional (BN).

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin ketika ditanya mengenai ura-ura penyertaan parti dari Sabah itu dalam PN enggan mengesahkan atau menafikannya.

Su Phin bagaimanapun mengakui LPD mempunyai hubungan baik dengan Perikatan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

“Saya dan Datuk Seri Hajiji Noor merupakan kawan baik dan saya juga mengucapkan tahniah apabila beliau dilantik sebagai ketua menteri.

“Kami juga saling mengenali antara pemimpin UMNO, Bersatu dan Parti Bersatu Sabah (PBS),” katanya kepada Sinchew Daily.

Su Phin berkata, tiada apa yang tidak mungkin dalam politik kerana apa jua juga boleh berlaku.

Menurut Su Phin, partinya kini bagaimanapun menumpu kepada penstrukturan semula dan pemilihan parti.

Sebagai rekod, LDP keluar daripada BN selepas pilihan raya umum lalu.

Parti itu menyertai pilihan raya negeri pada September lalu secara bersendirian dengan bertanding di 48 kerusi, tetapi balik dengan tangan kosong.

Semasa kempen, LDP menyatakan ia tidak akan membentuk kerajaan bersama dengan PN atau BN jika menang mana-mana kerusi, tetapi sanggup bekerjasama dengan parti tempatan Sabah.