Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan diiringi barisan kepimpinan tertinggi UMNO hadir pada Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – UMNO mendesak kerajaan memperkenalkan larangan rentas parti politik berbanding rentas negeri.

Rentas politik hanya merugikan mandat rakyat yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, larangan rentas politik bagi mengembalikan demokrasi negara yang merosot dan ruang kebebasan bersuara semakin mengecil.

“Malah sering sahaja dikongkong. Parlimen sebagai entiti yang mengangkat nilai sebenar demokrasi dilumpuhkan dan Perlembagaan tidak dijunjung dengan luhur.

“Ahli Parlimen memperjudikan mandat rakyat dengan sesuka hati demi kepentingan peribadi masing-masing. Iklim politik kita seperti dilanda langkisau . Ramai yang sasau, ramai yang meracau.

“Mereka melompat dari satu kolam ke kolam lain tanpa malu tanpa segan silu. Seakannya negara kita dalam tempoh pandemik ini, lebih memerlukan larangan rentas parti, berbanding larangan rentas negeri,” katanya berucap pada Perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sementara itu, Mohamad menegaskan, kedudukan perpaduan orang Melayu tidaklah terlalu meruncing, sebaliknya semakin mengukuh sejak UMNO dan Pas menerokai jalan perpaduan.

“Orang Melayu dalam kedua-dua parti besar ini semakin erat dan akrab, sehingga membuahkan pelbagai kejayaan dalam beberapa pilihan raya kecil yang lepas. Kita leraikan pergeseran silam, kita bersatu atas nama Islam dan Melayu.

“Jika konsep perpaduan bangsa Melayu itu ditafsirkan dalam konteks politik semata-mata. Jadi, janganlah perpaduan ummah itu, pada kita tidak lebih dari sekadar parti-parti Melayu duduk bersama dalam sebuah perikatan politik,” katanya.

Mohamad menyifatkan tafsiran itu sebagai sangat cetek kerana jumlah orang Melayu yang diwakili oleh kedua-dua parti besar Melayu sebenarnya hanyalah dalam lingkungan empat juta sahaja.

“Sedangkan, berbelas-belas juta lagi orang Melayu di luar sana yang tidak berparti, tidak menyertai UMNO dan Pas apatah lagi PPBM. Namun mereka membentuk sebahagian besar ummah yang kita sebut-sebutkan ini.

“Jadi, seruan kepada perpaduan ummah mestilah dibaca dalam konteks yang lebih besar. Ia mesti benar-benar bertujuan menyatukan semua orang Melayu, merentas ideologi politik, kepentingan kuasa dan status sosial.

“Ia mesti menjangkaui laba politik dan tidak menjadi sekadar strategi untuk menang dalam pilihan raya. Sedangkan nasib dan masa depan ummah belum tentu akan dipedulikan selepas itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast