Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (kiri) pada sidang media selepas perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh lagi berpecah-belah dan berpuak-puak sama ada pemimpin mahupun akar umbinya sekiranya mahu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, anggota UMNO perlu melupakan mengetepikan perbezaan bagi mengembalikan parti itu sebagai parti pemerintah.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada kesatuan dalam UMNO dengan sebenar-benar kesatuan.
“UMNO ini tidak boleh terpecah-pecah. Hentikan segala clustering yang sangat tidak menguntungkan ini.

“Demi masa depan UMNO, marilah kita kembali kepada tautan UMNO jua. Berkelahi di hujung batang, berbaik di pangkal padang.

“Biduk lalu, kiambang bertaut. Serumpun bak serai, sesusun bak sireh. Insya-Allah,” katanya berucap pada Perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, UMNO telah lama merintis kesepakatan bangsa Melayu, merentas parti dan ideologi, semasa menentang Malayan Union.

“UMNO telah terlebih dahulu menggembleng pelbagai usaha mengumpul dana, sokongan dan bantuan orang Melayu, Cina dan India bagi berunding dan menuntut kemerdekaan.

“UMNO memeta, jalan perpaduan pelbagai pihak dan kaum, selepas berlakunya peristiwa 13 Mei dan memulihkan semula kestabilan politik di Malaysia.

“Setelah diisytiharkan haram pada 1988, UMNO terus berupaya menyatu padukan Malaysia dengan sokongan pelbagai parti komponen. Malah masih terus memimpin kerajaan,” katanya.

Beliau juga memberi amaran kepada pemimpin serpihan parti Melayu yang baru setahun jagung agar tidak berbicara tentang perpaduan ummah dengan UMNO.

“Bila tuan-tuan sendiri tidak punya sebarang rekod menyatu-padukan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia. Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan UMNO, kalau tuan-tuan sendiri berentap dengan mereka yang sebelum ini tuan-tuan peluk dan dakap mesra.

“Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan UMNO, kalau yang tuan-tuan tahu, hanyalah memancing dan mengutip sesiapa sahaja yang pantas meninggalkan perjuangan bangsa.

“Termasuklah mereka yang selama ini tidak berhenti-henti menghina dan merendah-rendahkan orang Melayu,” katanya.

Katanya lagi, golongan itu sebenarnya anti perpaduan Melayu yang tidak memperjuangkan sebarang usaha perpaduan sehinggalah nyawa mereka seperti telur di hujung tanduk, kelangsungan parti menjadi begitu getir, barulah bercakap tentang perpaduan bangsa.

“Lebih menjelikkan, bila mereka yang meninggalkan PKR turut tidak malu mahu bercakap berkenaan perpaduan ummah.

“Sedangkan selama berpuluh-puluh tahun, perjuangan mereka tidak pernah sekali pun menjurus kepada kebaikan orang Melayu, apatah lagi perpaduan ummah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette