KUALA LUMPUR – “Wanita-wanita ini setia, susah untuk lompat parti. Yang melompat ini majoritinya lelaki. Saya minta sangatlah kepada presiden parti, tengok-tengoklah wanita ini.”
Itu kata Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Noraini menegaskan, ia susulan calon wanita yang memenangi pilihan raya lalu lebih setia berbanding calon lelaki yang ramai meninggalkan parti dan menyertai parti pemerintah.
Dalam pada itu, beliau juga berkata, sejarah membuktikan bangun jatuhnya UMNO bukan sahaja dibangunkan atas keringat dan perjuangan lelaki sahajaR tetapi juga air mata dan gelang emas wanita Melayu sejak tahun 1946.
“Siapa tidak kenal, Skuad Sayang yang tiada tandingannya. Tidak ada mana-mana gerakan yang sepantas Skuad Sayang. Turun, naik, redah, daki, dan namakan apa saja, demi rakyat, wanita kuburkan semua alasan.
“Skuad Sayang kita terus cekal bermandi hujan, bersidai panas, masuk ke setiap kampung, berlecak, berjauhan dengan anak dan suami demi mencurah bakti kepada pertiwi.
“Ini semua kita lakukan kerana kita mahu UMNO terus subur di hati setiap rakyat di Tanah Melayu bertuah ini,” katanya.
Beliau juga mendesak agar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita diberi peluang untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
“Kita tidak minta harta benda dan pujian. Apa yang kita nak, agenda 30 peratus wanita dalam politik ini dilaksanakan. Justeru, saya meminta kepada kepimpinan parti untuk mempertimbangkan calon dalam kalangan wanita.
“Kami mempunyai calon yang layak untuk ditonjolkan sebagai wakil rakyat. Kita tidak mahu lagi dikenali sebagai kumpulan bergerak di belakang tabir. Kita mahu lebih ramai wanita diletakkan di barisan hadapan!” ujarnya.
Sementara itu, Wanita UMNO juga menyokong keputusan Majlis Kerja UMNO yang bertegas dengan pendirian No DAP! No PKR! serta menarik sokongan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebaik sahaja PRU-15.
“Kita bersetuju UMNO dan Bersatu ini sukar untuk tidur sebantal kerana kita punya mimpi yang berbeza. UMNO dan Bersatu ini banyak bertembung dari segi kepentingan. Atas sebab itulah kita sukar untuk mengadakan kerjasama dalam PRU.
“Sudah tentu keputusan ini memberikan pelbagai implikasi politik kepada orang Melayu. Namun, Wanita UMNO berpandangan, kita harus terus bersama dengan keputusan yang telah dibuat oleh akar umbi dan kepimpinan parti.
“UMNO harus memikirkan kelangsungan atau survival parti demi mempertahankan agenda Melayu Islam di negara ini. UMNO, sebagai parti keramat orang Melayu mempunyai satu tanggungjawab yang besar untuk meluruskan kembali jalur politik negara,” katanya.
Noraini turut menyifatkan UMNO sebagai dara pingitan yang mendapat perhatian daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk mengukuhkan kerjasama politik masing-masing.
“Ramai yang mencuit, ramai juga yang mengenyit. Tapi ingat! Saya ingin tegaskan, UMNO hanya akan menerima dan bekerjasama dengan mereka yang boleh menerima falsafah dan perjuangan parti keramat ini.
“Wanita UMNO akan terus memberi kepercayaan kepada presiden parti dan Ahli Majlis Kerja tertinggi UMNO untuk meneliti, mengkaji dan membuat keputusan politik yang terbaik demi memastikan UMNO kembali menjadi pilihan rakyat dan pengundi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette