BENTONG – Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Bentong-Raub, awal pagi tadi sedang dalam perjalanan pulang ke Morib, Selangor selepas menghadiri kenduri kahwin di Kota Bharu, Kelantan.

Marlina Abdul Muid, 34, yang kehilangan anak lelakinya Muhammad Aisy Harraz Aziz, 7, tidak pernah terlintas akan turut kehilangan dua kakaknya Marlianna, 37, dan Marlia, 36, secara serentak dalam kemalangan pada awal pagi tadi.

Katanya, mereka bergerak pulang ke Morib secara berkonvoi dengan tiga kereta, selepas menghadiri majlis perkahwinan adik lelakinya. Turut maut anak saudara Marlina, Muhammad Faizz Aryan Mohd Faizuddin, 9, yang juga merupakan anak Allahyarham Marlia.

“Masa bersiap sebelum bergerak, semuanya elok saja…anak saya memang rapat dengan dua ibu saudaranya, sebab itu mereka naik kereta bersama-sama,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Forensik Hospital Bentong, di sini hari ini.

Marlina yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik berkata, lebih menyayat hati apabila kemalangan itu berlaku di hadapan mata ibu mereka yang menaiki kereta lain bersama-sama adik lelakinya.

“Masa kejadian kereta saya sudah di hadapan manakala kereta mangsa di belakang…ketika dalam perjalanan adik lelaki yang memandu di belakang kereta kakak telefon dan beritahu kakak terlibat dalam kemalangan.

“Kami berpatah balik dan sejurus tiba, anggota bomba berada di tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mereka,” katanya menambah kesemua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Morib, Selangor.

Dalam kejadian kira-kira 4.10 pagi itu, Marlianna yang juga pemandu Perodua Myvi dan Marlia maut di tempat kejadian manakala Muhammad Aisy Harraz dan sepupunya Muhammad Faizz Aryan, disahkan meninggal dunia pada 6.30 pagi, selepas menerima rawatan di Hospital Bentong.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Marlianna cuba memotong sebuah kereta di hadapannya, namun tidak berjaya sebelum bertembung dengan treler yang membawa muatan kereta dari arah bertentangan.

Pemandu treler yang berusia 42 tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun bahagian hadapan trelernya itu turut rosak. – Bernama

1 Komen

Comments are closed.