Pertubuhan- Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Pahang menyerahkan memorandum bantahan penggunaan kalimah Allah kepada Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Pahang menyerahkan memorandum membantah penggunaan kalimah Allah kepada Majlis Ugama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Pengerusi PEMBELA Pahang, Datuk Syed Nasarudin Syed Abdul Hadi berkata, memorandum tersebut disampaikan kepada Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman di sebuah hotel di sini hari ini.

Dalam memorandum tersebut, PEMBELA memohon MUIP untuk membuat permohonan menjadi pencelah di Mahkamah Rayuan berkenaan isu penggunaan kalimah Allah.

Tambahnya, Mufti Pahang antara mufti terawal bersuara tegas berkenaan isu kalimah Allah dan memberikan respon positif atas usaha yang mereka.

Selain itu, beliau juga menyokong penuh usaha kesemua pertubuhan bukan kerajaan Islam lain dalam menggerakkan gelombang masyarakat Muslim membantah isu kalimah Allah.

“Kita buat satu Malaysia, semua PEMBELA di negeri-negeri menyerahkan memorandum bantahan kepada majlis agama di negeri masing-masing.

“Kita memohon pihak majlis agama negeri untuk menjadi pencelah dalam kes yang dimana diputuskan oleh Mahkamah Tinggi penggunaan kalimah Allah dibenarkan digunakan oleh agama Kristian.

“Memang tidak bersetuju kalimah Allah digunakan oleh agama lain, kita tahu kegunaan ia lebih untuk dakwah di Sarawak. Oleh kerana tindakan undang-undang, maka perlu bergerak atas landasan undang-undang,” katanya.

Ekoran isu berkenaan akan didengar di Mahkamah Rayuan justeru pihaknya  mengharapkan MUIP memohon menjadi pihak pencelah bersama-sama majlis agama negeri-negeri lain dalam prosiding kes berkenaan.

“Kalau majlis agama negeri-negeri bertegas baru kita akan kuat.” kata Syed Nasarudin ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Baru-baru ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut Kristian seluruh negara dibenar menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama berkenaan.

Hakim Nor Bee Ariffin dalam peghakiman beekata, ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Manakala antara tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.- MalaysiaGazette